Portal berita terbaik anda

Utama

Tiba masanya kerajaan rombak sistem cukai – Prof Jomo

Pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram mencadangkan agar kerajaan melakukan reformasi terhadap sistem cukai negara yang menurutnya mudah dielak dan diambil kesempatan.

Beliau yang merupakan penasihat penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) itu berkata, lompong dalam sistem cukai menyebabkan banyak pihak – sama ada individu atau syarikat – mengelak membayarnya dengan pelbagai cara.

“Ada kaji selidik beberapa tahun lalu menunjukkan lebih separuh daripada pemilik kereta mewah tak bayar cukai pendapatan. Kalau kamu balu kaya, (bolehlah) kamu tak bayar cukai tapi masih mampu beli BMW atau apa-apa kereta (mewah)…

“Dua tahun lalu, berdasarkan (laporan) Focus (Malaysia), tiga wanita terkaya di negara ini semuanya balu kaya. Malangnya ketiga-tiganya semua sudah meninggal. Tapi saya yakin bukan semua pemilik kereta mewah ini balu kaya.

“Jadi anda tentu mula tertanya-tanya, betapa mudah dan berjayanya tindakan lari dari cukai di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Laporan Pelaburan Dunia Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) 2009, di Mercu UEM, Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata lagi, hal yang sama berlaku di kalangan syarikat besar yang beroperasi di banyak negara hanya untuk mengambil kesempatan daripada insentif dan pelepasan cukai yang diberikan kerajaan negara tersebut.

“Kita kena ada kerjasama antarabangsa agar kita boleh kenakan cukai kepada syarikat-syarikat ini. Mereka buat duit di negara kita, tapi kita pula bagi pelepasan cukai.

“Dan dengan memanipulasi akaun mereka dan sebagainya, mereka boleh mengelak untuk bayar cukai atau meminimumkan cukai yang perlu dibayar,” katanya yang mendakwa langkah mengelak cukai dimudahkan pula dengan perkembangan ekonomi digital yang berlaku kini.

Beliau memberi contoh betapa ada syarikat yang beroperasi di Malaysia menikmati insentif cukai sejak 1950-an sehingga hari ini.

Justeru, Jomo berkata sudah tiba masanya sistem cukai Malaysia dirombak agar lebih berkesan dan ia mampu memberi perubahan ketara kepada ekonomi negara.

“Sekarang ini ada banyak cara untuk kenakan cukai terhadap pihak berpendapatan tinggi secara lebih efektif. Saya yakin penasihat dalam kerajaan sedang meneliti pilihan-pilihan ini. Seperti kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan,” kata bekas penolong setiausaha agung PBB bagi pengembangan ekonomi itu lagi.

Loading...

Leave a Reply