Portal berita terbaik anda

Utama

Tiada siapa dibenar balik kampung sambut puasa

Rakyat Malaysia yang tinggal di bandar tidak dibenarkan pulang ke kampung, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menjelaskan kenyataannya semalam, Ismail berkata kebenaran sedemikian hanya diberikan khusus kepada mereka yang terperangkap di kampung.

“Yang ada di bandar nak balik ke kampung tak boleh. Dari awal lagi kita kata tak boleh ada pergerakan dari bandar untuk balik ke kampung. Jangan ada yang keliru.

“Yang saya sebutkan semalam adalah mereka yang terperangkap di kampung.

“Mereka itu telah terperangkap lebih dari satu bulan di kampung. Jadi kita minta mereka daftar (melalui aplikasi Gerak Malaysia),” katanya merujuk mereka yang terperangkap ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan.

Beliau bagaimanapun berkata keputusan belum dibuat dan mereka yang mahu pulang perlu membuat permohonan dalam talian terlebih dahulu.

“Kita cuma membenarkan mereka mendaftar atau melaporkan kepada balai polis dan melalui online mulai 25 haribulan nanti supaya kita dapat informasi yang jelas, berapa sebenarnya yang balik sebelum PKP dan ingin balik ke Kuala Lumpur atau mana-mana bandar tempat mereka bekerja” katanya.

Katanya, selepas itu maklumat berkenaan akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan, PDRM dan Majlis keselamatan Negara (MKN) untuk dibincangkan sebelum keputusan dibuat.

“Kalau mereka (pihak berkuasa) kata boleh, kita akan sediakan SOP yang ketat bagaimana cara untuk membawa mereka pulang.

“Ini berbeza dengan pelajar. Pelajar kita boleh bawa mereka dengan bas sebagai contoh,” jelasnya menambah status kesihatan pelajar diketahui oleh pihak pentadbiran universiti.

Permohonan berkenaan boleh dilakukan secara dalam talian menggunakan aplikasi ‘Gerak Malaysia’ yang dibangunkan PDRM bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia atau memohon di balai polis berhampiran.

Loading...

Leave a Reply