Tiada laporan kes basikal lajak di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu tidak menerima sebarang laporan mengenai kegiatan basikal lajak yang menjadi trend dalam kalangan remaja di negeri ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (KPJKK) Terengganu, Asisten Komisioner, Noor Halim Nordin, berkata tiada laporan diterima setakat ini namun pihaknya memandang serius aktiviti berkenaan kerana ia membabitkan isu keselamatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu diminta menyalurkan kepada pihak berkuasa supaya pemantauan dapat dilaksanakan.

“Mereka yang melihat aktiviti basikal lajak di jalan raya boleh mengambil video atau gambar dan salurkan kepada kami untuk tindakan lanjut.

“Kita akan ambil tindakan tegas kepada pengguna basikal lajak yang didapati melakukan aksi berbahaya dan boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya ketika ditemui sempena Ops Bersepadu Perayaan Deepavali, di Jambatan Sultan Mahmud, di sini, malam tadi.

Katanya, tindakan mengikut Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Katanya, sekiranya pesalah masih lagi di bawah umur, ibu bapa juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian penjagaan kanak kanak yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 dan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Mengulas mengenai Ops Bersepadu Deepavali, Noor Halim berkata, sebanyak 1,424 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan di negeri ini dalam operasi yang bermula 21 Oktober lalu dan berakhir semalam.

Katanya, Marang mencatatkan jumlah saman tertinggi dikeluarkan iaitu sebanyak 507 saman membabitkan kesalahan tidak memakai tali pinggang, tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan nombor plat tidak mengikut spesifikasi.

“Ia diikuti Dungun (341), Kuala Terengganu (324), Besut (144), Setiu (77) dan Kemaman (31) manakala Hulu Terengganu tidak mengeluarkan sebarang bentuk saman kepada 107 kenderaan yang diperiksa.

“Selain itu, sebanyak 21 tangkapan membabitkan kesalahan jenayah, 123 tangkapan kesalahan narkotik dan enam tangkapan lain-lain kesalahan turut direkodkan sepanjang operasi sama.

“Kita turut melakukan sebanyak 1,528 rampasan termasuk 29 rampasan membabitkan kesalahan jenayah, 1,495 rampasan narkotik dan empat rampasan lain-lain kesalahan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply