The Star akhirnya tampil ‘bersihkan’ nama Dr Mujahid

0
389

The Star hari ini menjelaskan bahawa bahagian yang menjadi pertikaian dalam wawancara Datuk Mujahid Yusof tidak dikaitkan dengan menteri itu.

Ia selepas setiausaha akhbar Mujahid, Siti Zulaikha Zulkifli semalam memberi masa 24 jam untuk akhbar berkenaan memohon maaf berhubung laporan berkenaan, terutamanya berhubung kenyataan menteri itu yang berhubung serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama.

“Kami mahu menjelaskan bahawa perenggan berkenaan tidak dikaitkan dengan Mujahid dan ia bukan petikan kata-katanya.

“Ia berdasarkan jawapan kepada soalan: ‘Katakan seseorang terlibat dalam khalwat di ruang tertutup. Pihak anda boleh pecahkan pintu dan menahan mereka. Adakah ini akan berubah?'”

“Untuk rekod, menteri itu menjawab: ‘Saya akan memberi panduan kepada kesemua agensi di bawah saya, terutamanya pegawai penguatkuasa, jangan masuk campur ruang peribadi seseorang. Isu berkaitan penguatkuasaan terhadap khalwat, yang anda rasakan sering disalahgunakan, tidak kesemuanya. Tetapi ada beberapa ketika ia telah dieksploitasi dan disalah guna. Penguatkuasaan ke atas aktiviti khalwat terletak di bawah institusi kehakiman di bawah negeri, dan ia bukan di bawah kementerian saya, tetapi kami mempunyai platform di mana kita akan bertemu kesemua pengarah negeri jabatan hal ehwal Islam, serta berkongsi pandangan dari sudut kerajaan persekutuan berhubung isu ini.'”

“Kami kesal terjadi kekeliruan susulan laporan itu,” kata The Star.

Semalam, Zulaikha mempersoalkan tajuk berita laporan The Star yang disiarkan Sabtu lalu, termasuk perenggan pertama laporan itu.

Perenggan pertama menyatakan: “Tiada lagi ketuk pintu di tengah malam dan tiada lagi pecahkan pintu oleh pihak berkuasa agama bagi menyiasat laporan khalwat atau dakwaan salah laku lain.”

Zulaikha berkata Mujahid tidak pernah menyebutkan perkataan itu dan ia hanyalah tafsiran penulis dan telah menyebabkan salah faham dalam kalangan orang Islam di negara ini.

Laporan itu mengundang pelbagai reaksi, ada yang memuji pendirian Mujahid dan ada yang menuduh beliau menyokong kegiatan maksiat.

Susulan itu, Zulaikha menuntut permohonan maaf akhbar berkenaan atau berdepan “tindakan yang lebih tegas”.

Mujahid juga telah menafikan pernah menyatakan bahawa serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama akan dihentikan.

Transkrip penuh wawancara berkenaan dikongsi di Facebook Mujahid semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here