TFC optimis ‘lemaskan’ Selangor di Shah Alam

KUALA TERENGGANU – Menjelang pertemuan dengan Selangor di Stadium Shah Alam malam ini, jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan prestasi anak buahnya berada pada tahap terbaik untuk ‘melemaskan’ skuad The Red Giants selepas saingan liga bersambung.

Bekas pengendali Selangor berusia 68 tahun itu menjelaskan, tahap kecergasan pemainnya juga berada di tahap terbaik dalam misi melakar kemenangan ketiga saingan Liga Super musim ini.

“Walaupun liga berehat panjang, pemain saya tetap cergas dan lebih membanggakan prestasi mereka konsisten…mereka gigih dan bersemangat ketika sesi latihan.

“Kami mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Perdana, UiTM FC dan UKM FC yang masing-masing berkesudahan kami menang 2-1.

“Lebih menggembirakan apabila semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan selain persefahaman antara pemain baharu dan sedia ada kian baik,” katanya.

Jurulatih yang dilabel pakar taktikal itu juga mengingatkan pemainnya tidak terlalu menghormati status pasukan gergasi merah itu walaupun skuad berkenaan memiliki dua bekas pemain TFC iaitu Mohd Faiz Mohd Nasir dan Latiff Suhami.

Sambil menyifatkan skuad kendalian B Sathianathan itu bagaikan ‘harimau luka’, Irfan turut mengingatkan anak buahnya perlu berwaspada dengan corak permainan lawan terutama di posisi serangan.

“Walaupun kita dah tahu corak permainan dua bekas pemain TFC itu, pemain tidak boleh ambil mudah sebaliknya harus berwaspada dengan taktikal skuad itu selain beraksi seperti biasa dan jangan terlalu menghormati lawan,” kata Irfan yang bakal melakukan sedikit rombakan ke atas pasukannya.

Berdasarkan rekod musim lalu, skuad TFC tewas 0-2 pada aksi Liga Super pusingan kedua di Stadium Shah Alam manakala pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah skuad Penyu itu menang 4-1.

You might like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *