Tergamak mu nak ‘katok’ ayah…

0
1130

KUALA TERENGGANU – Berdendam dengan bapa sendiri yang didakwa enggan membayar gaji, seorang lelaki hilang pertimbangan apabila mahu memukul orang tuanya itu menggunakan tukul besi, di Kampung Kota Manir, di sini, pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, suspek berusia 24 tahun yang bekerja dengan mangsa, 50-an, juga bertindak mengugut mahu menikam seluruh ahli keluarga lain.

Menurut sumber, suspek yang bekerja membaiki jalan gagal mengawal perasaan marahnya kerana mendakwa bapanya tidak mahu membayar gaji.

“Suspek mula naik hantu selepas mangsa tidak mahu membayar gajinya meskipun diminta berulang kali.

“Dia melepaskan rasa marahnya dengan memarahi dan bertindak mahu memukul mangsa selain mengugut akan menikam semua ahli keluarga yang lain sebelum beredar dari rumah itu.

“Susulan kejadian itu, kakak suspek berusia 26 tahun yang bimbang keselamatan mereka sekeluarga membuat laporan di Balai Polis Manir pada hari yang sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sumber: sinar harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here