Portal berita terbaik anda

Utama

Teresa Kok bidas Perancis tolak penggunaan minyak sawit

KUALA LUMPUR: Menteri Industri Utama Teresa Kok membidas keputusan Dewan Rakyat Perancis yang tidak mengiktiraf minyak sawit sebagai sebahagian sumber untuk penghasilan biodiesel.

“Langkah ini bersifat diskriminasi dan tidak adil. Ia sesuatu yang amat dikesali kerana Ahli Parlimen (Perancis) membuat keputusan yang tidak lengkap dengan informasi berkaitan kemampanan minyak sawit terhadap alam sekitar dan sokongan industri itu kepada pembangunan sosio ekonomi negara pengeluar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, tindakan Perancis itu akan menjejaskan kehidupan berjuta penduduk negara pengeluar minyak sawit termasuk Malaysia.

“Ini keputusan yang tidak boleh diterima dan melanggar prinsip dagangan bebas dan adil. Keputusan Dewan Rakyat Perancis amat membimbangkan dan perlu dibantah,” tegas beliau.

Teresa berkata langkah Perancis mengecualikan minyak sawit sebagai campuran dalam biodiesel akan menjejaskan hubungan dagang bilateral dua hala.

“Malaysia akan menyatakan protes terhadap tindakan ini dan akan mendapatkan sokongan dari negara pengeluar lain,” tambahnya.

Perancis pada Rabu mengundi untuk menghentikan insentif cukai terhadap penambahan minyak sawit dalam biodiesel menjelang 2020 dan menganggap diesel hasil dari minyak sawit sebagai bukan teknologi hijau.

Loading...

Leave a Reply