Terengganu wujudkan 12,000 peluang kerja menjelang Jun 2019

0
216

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyediakan sebanyak 12,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor bagi mengatasi masalah pengangguran di negeri ini sehingga Jun tahun depan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara sektor terlibat ialah industri kimia, pertanian, polimer dan silika.

“Berdasarkan Survey Tenaga Buruh (STB) yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran di Terengganu adalah 4.5 peratus pada tahun lalu.

“Bagi mengatasi masalah tersebut, kerajaan negeri komited dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan.

“Ini termasuk menyediakan 800 peluang pekerjaaan masing-masing dalam industri kimia (Produk Bioteknologi) sebanyak 600 peluang manakala dalam industri pertanian (Jagung Hybrid) sebanyak 200 peluang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu ke 14 di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.

Ridzuan dalam soalannya ingin tahu kadar terkini pengangguran di Terengganu dan langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi mengatasinya.

Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, sebanyak 11,200 peluang pekerjaan lagi dijangka dapat disediakan bermula tahun depan kerana dua industri termasuk Polimer (Sarung Tangan NBR (Nitrile Butadine Rubber) dan Silika (Produk Berasaskan Silika) masih dalam perancangan.

Katanya, industri polimer dijangka akan menyediakan sebanyak 4,000 peluang pekerjaan manakala silika pula (7,200), masing-masing akan mula beroperasi mulai Januari dan Jun tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here