Portal berita terbaik anda

Sukan

Terengganu muncul juara Piala Belia 2019

PELATIH skuad B-19, Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid, mendapat tonik terbaik sebelum ke kem latihan negara selepas membantu Terengganu FC (TFC) IV menjuarai Piala Belia, sebentar tadi.

Gol penyerang kelahiran Kemaman itu pada minit ke-62 memadai untuk TFC IV mengatasi PKNS FC 1-0 sekaligus menebus kekecewaan final musim lalu kepada lawan sama.

Beraksi selaku tuan rumah, TFC IV tidak menunggu lama untuk mencemaskan kubu pelawat pada minit kesepelu hasil gerakan dari sebelah kiri.

Bermula tandukan ‘Atiq yang diselamatkan, tindakan susulan penjaring terbanyak, Muhd Isa Rahman, yang melakukan sepakan gunting pula menggegar palang gol.

Tuan rumah terus rancak menyerang kali ini dari sebelah kanan menyaksikan rembatan lencong ‘Atiq sedikit tinggi melepasi sasaran pada minit ke-19.

Keberanian penjaga gol, Syafiq Sabaruddin, keluar dari kotak penalti hampir dihukum Alamin Mohd Zahid (m-36) namun lambungan pemain TFC IV itu gagal menerjah jaring.

TFC IV mengekalkan dominasi selepas rehat dan terus menambah tekanan dengan hantaran Aiman Hakim Mat Husin terlalu deras untuk disambar Isa pada minit ke-60.

Skuad pelawat kemudian berhasil memasuki kawasan berbahaya tuan rumah malangnya rembatan Muhd Hadi Mohamad jauh dari sasaran.

Jaringan dicari-cari TFC IV akhirnya menjelma pada minit ke-62 melalui ‘Atiq yang bijak menggelecek Syafiq sebelum menolak masuk bola ke dalam pintu gol yang ternganga luas.

Skuad kendalian Subri Sulong itu memiliki peluang untuk mematikan perjuangan lawan namun kecederaan Isa pada minit ke-69 mengendurkan jentera serangan mereka.

Ezry Fashli Halimi hampir sahaja memberikan kejuaraan kepada PKNS menerusi gol di tempat lawan namun sepakan percumanya dalam masa kecederaan mengenai tiang gol.

Selaku juara, TFC IV membawa pulang trofi, wang tunai RM80,000 manakala PKNS terpaksa berpuas hati dengan wang tunai RM50,000.

Loading...

Leave a Reply