Portal berita terbaik anda

Utama

Terengganu kekal had umur perkahwinan

Gambar hiasan

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengekalkan peruntukan sedia ada dalam Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2017, yang membenarkan perkahwinan pada had usia 16 tahun untuk perempuan dan 18 tahun untuk lelaki.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata kerajaan negeri tidak bercadang meminda enakmen berkenaan.

Beliau berkata, ia kerana undang-undang berkenaan sudah dibuat dengan teliti berasaskan siasah syariah dan situasi masyarakat setempat hari ini, untuk mengelak perbuatan salah seperti zina.

“Kita tidak akan bincangkan lebih panjang kerana undang-undang ini sudah dibuat dengan teliti. Kita kekalkan apa yang sudah diputuskan dalam enakmen itu.

“Jika ada sebarang perubahan yang hendak dibuat ia perlu dirujuk kepada Jabatan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa Terengganu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan diskusi bersama media di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilapor mengarahkan semua kerajaan negeri untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun untuk orang Islam dan bukan Islam.

Mohd Nor Hamzah

Portal berita memetik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang, Chong Eng, mengesahkan perkara itu.

Mohd Nor berkata, walaupun had umur perkahwinan ditetapkan pada usia 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi wanita di negeri ini, enakmen itu turut membenarkan remaja bawah umur untuk berkahwin, tetapi perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

“Di Terengganu, mereka yang berumur di bawah 18 atau 16 tahun boleh bernikah dengan kebenaran JHEAT sekiranya mereka sudah dibuktikan layak dan perlu untuk berkahwin.

“Perkara ini dibenarkan kerana kita mahu menyelamatkan masyarakat daripada perlakuan zina dan masalah lain,” katanya.

Mengenai tentangan daripada segelintir pihak terutama badan bukan kerajaan terhadap had umur perkahwinan di bawah 18 tahun itu, beliau berkata, pihak berkenaan tidak mengetahui mengenai isu zina dan seks bebas yang dilarang dalam Islam.

“Adakah kita rela melihat anak berusia 12 tahun berzina, sedangkan manusia ini apabila sampai akil baligh sudah layak untuk berkahwin,” katanya.

Loading...

2 Comments

  1. Ahnaf jamal

    Salam macam mana gambar saya boleh ada dalam artikel ini ?

Leave a Reply