Terengganu juara SUKMA 2018

0
144

SETELAH melakukannya pada 2008, 2010 dan 2012, kini Kontinjen Terengganu kembali merangkul gelaran juara keseluruhan bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

Dengan kekuatan seramai 834 atlet dan pegawai, pungutan 56 pingat emas, 49 (perak) dan 52 gangsa pada Sukma kali ini dilihat sudah cukup menobatkan Kontinjen ‘Terengganu Nelang’ itu selaku juara edisi ke-19, temasya dwi tahunan berkenaan.

Paling mencuri tumpuan pastinya atlet olahraga, Azreen Nabila Alias, 19, yang dinobatkan selaku Ratu Pecut Sukma Perak 2018 setelah muncul juara bagi acara 100 meter dengan catatan rekod baharu 11.81 saat.

Catatan berkenaan sekali gus telah memadamkan rekod 11.82 saat milik atlet Johor, Siti Fatimah Ahmad yang dicipta pada temasya Sukma Terengganu 2008 lalu selain turut meraih emas acara 200 meter dan 4×100 wanita.

Selain itu, atlet angkat berat Muhammad Darul Najmi Dollah turut mencatatkan rekod baharu Sukma setelah berjaya mengangkat bebanan 164 kg yang memadamkan rekod 163 kg, milik Mohd Hafifi Mansor yang dicipta pada temasya Sukma Perlis 2014, lalu.

Secara keseluruhannya, prestasi Kontinjen Terengganu pada Sukma kali ini sememangnya memberangsangkan setelah sekadar berada pada kedudukan ketiga keseluruhan pada Sukma Sarawak 2016 selain muncul naib juara pada Sukma Perlis 2014.

Mengulas lanjut, Chief de Misson (CDM) atau Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Samiun Salleh berkata, kejayaan berkenaan, adalah hasil usaha semua pihak melibatkan Kerajaan Negeri, Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu dan lain-lain yang mahu menyaksikan Kontinjen Terengganu kembali cemerlang.

“Sebenarnya selepas Sukma Sarawak 2016, kita dah mulakan langkah untuk membentuk kontinjen yang kuat untuk Sukma 2018 dan kita memang sasarkan untuk muncul juara keseluruhan kali ini.

“Selain itu, komitmen daripada semua pihak yang dilihat bersatu hati bagi menjayakan hasrat ‘Win Back Mission’ dan mengulangi semula kejayaan kita yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut pada 2008 di Terengganu, Melaka (2010), Kuala Lumpur (2011) dan Pahang pada 2012 lalu.

Tambah Samiun, pihaknya turut memberikan keutamaan daripada aspek pengurusan sukan dalam usaha merealisasikan sasaran muncul juara keseluruhan Sukma Perak 2018.

“Memang kita tekankan aspek pengurusan sukan. Kerana ia adalah elemen penting bagi memastikan kejayaan atlet.

“Kita dah ada atlet. Kita dah ada jurulatih. Oleh itu, kita cuma perlukan aspek pengurusan sukan bagi memastikan apa juga perjalanan, latihan dan sebagainya berjalan lancar,” katanya.

Samiun berkata, pihaknya turut mewujudkan program ‘tunas harapan’ dalam usaha mewujudkan perkembangan kerjaya (career development) kepada atlet-atlet terlibat dalam bidang sukan yang diceburi.

“Kita juga akan bagi insentif kepada mereka (atlet). Dalam soal ini, kita tabiklah kepada perancangan MSN Terengganu yang telah melantik ketua kontinjen pada peringkat awal lagi, iaitu setahun sebelum bermulanya Sukma.

“Ini bagi tujuan mewujudkan hubungan yang erat, mesra dengan atlet. Dengan cara ini, kita akan jadi lebih mesra dengan atlet dan mudah untuk kita bantu selesaikan permasalahan yang timbul.

“Selain itu, kita berpendapat bahawa pembangunan sukan perlu dilakukan secara saintifik, seperti mengkaji kaedah pemakanan atlet, latihan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Samiun berkata, pihaknya juga sedang menyusun perancangan bagi menghadapi Sukma Johor 2020 kelak.

Katanya, perancangan bagi mengharungi temasya Sukma Johor 2020 itu perlu dilaksanakan mulai sekarang agar satu pelan strategik dapat dilaksanakan bagi mengekalkan status selaku juara keseluruhan Sukma.

“Untuk Sukma 2020 di Johor nanti, pasti saingan lebih sengit. Lebih sukar. Jadi kita perlu buat persiapan lebih awal untuk terus bergelar juara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here