Teman lelaki putuskan hubungan kerana ibu tak suka Kelantan

SETIAP pasangan bercinta pasti mahukan hubungan yang dibina kekal sehingga ke jinjang pelamin. Lebih bahagia dan indah sesebuah perhubungan itu jika mendapat restu daripada kedua belah pihak.

Baru-baru ini tular status Twitter daripada seorang gadis ini, Umi Raudhah yang terkilan apabila sentimen kenegerian dijadikan alasan untuk teman lelakinya memutuskan hubungan mereka.

Difahamkan, ibu kepada teman lelakinya yang berasal dari selatan tanah air seolah tidak mahu anaknya bercinta dengan gadis dari Kelantan. Gadis itu turut tertanya-tanya apa salah Kelantan.

Tidak mendedahkan identiti lelaki berkenaan, gadis itu berkata dia pernah berhubung dengan ibu lelaki tersebut dan mungkin itu alasan sahaja semata-mata untuk menolak dirinya.

“Dia macam tak ada usaha untuk memperjuangkan hubungan kami. Mungkin itu alasan sahaja dan dia sudah ada orang lain.

“Walaupun tak kenal mak dia, saya pernah contact sebelum ini.Dia tak pernah tunjuk tak suka dengan orang Kelantan. Lagipun ini bukan kali pertama dia cerita mengenai saya kepada ibunya,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, gadis itu berkata tidak sepatutnya benci atau menyalahkan seluruh rakyat sesebuah negeri hanya kerana disebabkan perbuatan segelintir individu.

Gadis itu yang juga merupakan penuntut di sebuah institut pengajian di Machang berkata, dia berkongsikan kisahya itu bukan kerana mahu viral atau memalukan lelaki tersebut, tetapi hanya untuk bertanyakan pendapat orang ramai sahaja.

Perkongsiannya itu mendapat perhatian ramai netizen yang mengatakan jika lelaki itu benar sayangkannya, pasti dia akan berusaha dan tidak semudah itu memutuskan perhubungan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *