Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

Telinga hampir putus, patah rahang dibelasah akibat mencuri getah sekerap

PASIR PUTEH – Seorang pemuda membayar dengan harga ‘mahal’ atas perbuatannya mencuri getah sekerap, iaitu hampir putus telinga kiri selain patah rahang selepas dibelasah penduduk di Kampung Changgai, Bukit Yong, di sini petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang, suspek berusia 26 tahun dipercayai penagih dadah terbabit dikatakan masuk ke kebun bersama rakannya lalu mencuri seguni getah sekerap seberat 15 kilogram bernilai RM50.

Kegiatan itu bagaimanapun disedari penduduk kampung sebelum suspek ditangkap dan dipukul manakala rakannya sempat melarikan diri.

Menurut sumber, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat seorang wanita berusia 32 tahun yang juga anak kepada pengusaha kebun getah berkenaan untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Asisten Superintendan Amran Mat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Susulan laporan berkenaan, pihak polis menerima tangkapan orang awam di lokasi kejadian dalam keadaan suspek cedera parah di mulut, tangan, telinga dan badan.

“Polis membawa suspek ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh dan akibat kecederaan serius, dia dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut, katanya.

Amran berkata, kebun getah berkenaan milik rakan bapa pengadu yang mengamanahkan kepada bapanya untuk mengusahakan kebun itu sejak 10 tahun yang lalu.

“Suspek yang ditangkap adalah sepupu kepada pengadu itu sendiri dan kes berkenan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.-UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén