Portal berita terbaik anda

Utama

Takut dibedah, warga emas tanggung derita mata membengkak akibat kanser

SEORANG ibu tunggal terpaksa menanggung derita apabila ketumbuhan di mata kanannya kini membesar sehingga menutup bola matanya akibat kanser mata yang dideritainya sejak setahun lalu.

Mohamad Saupi Yusof, 36, berkata, pada awal tahun lalu, ketumbuhan pada bahagian mata kanan ibunya, Che Mariam Idris, 65, hanya sebesar saiz biji kacang, namun dalam tempoh dua hingga tiga bulan, ketumbuhan berkenaan semakin membesar dan saiznya kini boleh dianggap seperti bola tenis.

Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, pada awalnya dia hanya menganggap bengkak di bahagian mata kanan ibunya itu adalah bengkak biasa memandangkan dia mempunyai penyakit resdung dan membawanya mendapatkan rawatan di klinik.

“Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, saya melihat bengkak di mata ibu semakin membesar seperti ketumbuhan kanser dan bimbang ia menjadi semakin serius, saya membawa ibu mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu pada November tahun lalu.

“Sebelum ibu disahkan menghidap kanser, doktor mengambil sampel biopsi pada bahagian hidung sebanyak dua kali dan jika mengikut perancangan doktor, ibu sepatutnya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mata pada Januari lalu, namun disebabkan perasaan takut, ibu enggan melakukannya.

“Setakat ini, ibu tidak membuat sebarang rawatan lanjut termasuk rawatan kimoterapi. Saya dan adik beradik yang lain, sudah beberapa kali memujuk ibu supaya meneruskan rawatan di hospital kerana bimbang kanser itu semakin mengganas, tetapi ibu tidak mahu sebaliknya mahu mengubati penyakitnya itu menggunakan kaedah perubatan secara tradisional,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Pantai Mek Mas, di Kota Bharu, semalam.

Mohamad Saupi berkata, lebih menyedihkan lagi, sejak dua minggu lalu ketumbuhan berkenaan mula pecah sehingga menyebabkan mata kanan ibunya seakan berlubang dan terpaksa menutupnya setiap masa dengan kain bagi mengelakkan jangkitan serta dihinggap lalat.

“Bagi memastikan tidak ada jangkitan, saya akan mencuci luka ini sebanyak tiga kali sehari menggunakan kapas dan juga air suling yang dibeli di farmasi.

“Pada setiap bulan, saya perlu membelanjakan lebih RM1,000 untuk membeli keperluan ibu termasuk alatan mencuci selain susu khas dan kos perubatannya. Wang bantuan bulanan yang diperolehi daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM400 sebulan sedikit sebanyak dapat menampung beban yang ditanggung,” katanya.

Katanya, dia yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual di Pasaraya Aeon terpaksa berhenti sejak lebih setahun lalu disebabkan kaunter perkhidmatan pelanggan yang dijaganya ditutup dan pada masa sama, ibu pula sakit dan memerlukan orang untuk menjaganya di rumah.

“Sejak berhenti kerja, saya menjaga ibu sepenuh masa apatah lagi keadaan mata kanannya yang sudah tidak dapat melihat akibat kanser. Bagi membeli keperluan ibu, saya hanya mengharapkan bantuan bulanan yang diperolehi dari MAIK dan juga sedekah orang yang datang menziarah memandangkan adik-beradik yang lain hanya bekerja kampung selain mempunyai tanggungan.

“Saya amat harap orang ramai dapat membantu meringankan beban kami terutamanya dalam mengurangkan beban membeli barang keperluan perubatan ibu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban boleh menghubungi Mohamad Saupi Yusof di talian 019-2184182.

Loading...

Leave a Reply