Taktik jual barang curi dalam Mudah.my terbongkar

0
243

KUALA TERENGGANU – Langkah licik seorang lelaki yang terbabit dalam beberapa kes pecah kedai dan rumah memperalatkan isterinya menjual barangan curi itu dalam mudah.com akhirnya terbongkar dengan penahanan isteri suspek di sebuah pasar raya di sini, 22 Oktober lalu.

Ketika ditangkap, wanita berusia 36 tahun itu bersama seorang anak berumur 4 tahun sedang berurusan dengan `pelanggan’ yang tanpa disedari merupakan pemilik kamera yang dicuri suaminya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu ‘temujanji’ yang membawa kepada penangkapan wanita tersebut, suaminya sedang menunggu di dalam kereta.

Menurutnya, sejurus ditangkap, wanita berkenaan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan wanita itu mendakwa tidak menyedari diperalatkan oleh suaminya.

“Lelaki berasal dari Bachok, Kelantan itu sedang diburu dan kita minta kerjasama orang ramai yang mengenali suspek yang bernama Abdul Rahim Alias agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di pejabat di sini hari ini.

Suffian memberitahu, hasil siasatan polis mendapati lelaki berusia 40 tahun itu pernah terlibat dalam lima kes seumpama itu sebelum ini yang menggunakan modus operandi yang sama.

Jelasnya, kes terbaharu berlaku pada 17 Oktober lalu apabila suspek dikatakan memecah masuk sebuah kedai foto berdepan kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Gong Badak sebelum melarikan sebuah kamera jenis Canon 50 D.

“Hasil siasatan mendapati suspek memasuki kedai itu melalui bumbung klinik yang terletak bersebelahan. Suspek kemudian mengarahkan isterinya menjual kamera tersebut melalui mudah.com.

“Bagaimanapun pemilik kamera itu mengadu, ketika dia cuba mencari sebuah kamera lain sebagai ganti menerusi mudah.com, tiba-tiba dia ternampak kamera miliknya diiklankan untuk dijual dalam mudah.com sebelum mengadakan ‘temujanji’ sebagai umpan pada 22 Oktober lalu,”
ujarnya.

Katanya, pengadu mengesahkan kamera itu kepunyaannya berdasarkan tanda `Nik G cc’ pada kamera tersebut lalu bertindak memaklumkan kepada polis sebelum wanita itu ditangkap pada ‘temujanji’ itu manakala suaminya sempat melarikan diri. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here