Portal berita terbaik anda

Utama

Tak sempat sambut hari jadi, Adam ditemui tergantung di besi penghadang katil

KANAK-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui mati selepas dipercayai terjerut kain tuala di dalam kejadian di Kuala Nal, Kuala Krai, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mayat Muhammad Adam Danish Zaidi ditemui dalam keadaan tergantung dengan sehelai tuala di besi penghadang katil dua tingkat oleh ahli keluarganya.

Lebih memilukan lagi kanak-kanak itu dikatakan meninggal dunia pada malam ulang tahun kelahirannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, sebelum kejadian, ibu mangsa memanggil anaknya yang berada di dalam bilik beberapa kali namun tidak ada sahutan.

“Ibu mangsa mula berasa pelik kerana tidak ada sahutan walaupun beberapa kali dipanggil dan pada masa sama pintu bilik diketuk. Ibu mangsa akhirnya menendang pintu sebanyak dua kali sehingga terbuka.

“Apabila pintu bilik dibuka, didapati anaknya berada dalam keadaan tergantung dengan sehelai tuala di besi penghadang katil dua tingkat dan dia terus memanggil anak sulungnya supaya menghubungi bahagian kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebaik pegawai perubatan hospital tiba, pemeriksaan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia.

“Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kes ini diklasifikasikan sebagai jenayah atau mati mengejut.

“Jenazah sudah dituntut oleh ahli keluarga selepas selesai urusan bedah siasat pagi tadi,” katanya.

Kek Ejen Ali permintaan terakhir Adam

“Kami enam beranak sepatutnya bergembira menyambut ulang tahun kelahiran Muhammad Adam Danish Zaidi yang kelapan tahun malam tadi, namun ia tidak kesampaian apabila dikejutkan dengan kematiannya.”

Demikian luahan Zaidi Ariffin, 42, iaitu bapa kepada Muhammad Adam Danish yang ditemui mati dipercayai terjerut kain tuala di dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Kuala Nal, Kuala Krai.

Zaidi berkata, dia menyedari kematian anak ketiga daripada empat beradik itu pada jam 9.30 malam selepas memanggilnya beberapa kali supaya keluar menyambut hari lahir, namun anaknya tidak menyahut menyebabkan dia terpaksa menendang pintu bilik berkenaan.

“Ketika itu saya terkejut melihat keadaan anak yang sudah tidak sedarkan diri dengan tuala terjerut dan mulut berbuih sebelum menghubungi Hospital Sultan Ismail Petra untuk bantuan kecemasan. Namun sebaik doktor (pegawai perubatan) tiba, anak saya disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.

Menceritakan mengenai sambutan hari lahir anaknya, Zaidi berkata, ketika itu kek sambutan hari lahir dan hadiah sudah dibeli, sebelum menanti Muhammad Adam Danish keluar dari biliknya.

“Pada awalnya, Adam meminta supaya membelikan kek Ejen Ali, namun tidak tercapai memandangkan pembuat kek memaklumkan bahan tidak mencukupi. Kami juga sudah maklumkan kepada Adam terpaksa membeli kek biasa dan dia hanya menjawab ok.

“Kami tidak sangka pemergian Adam adalah pada hari lahirnya. Kami sekeluarga reda walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya yang turut memaklumkan anaknya seorang yang aktif.

Dia berkata, apa yang sedikit pelik pagi semalam adalah Muhammad Adam Danish bangun awal pagi dan mengejutnya supaya solat Subuh.

“Itu kali pertama dia kejut saya dan selepas itu dia tidak tidur sehinggalah Adam masuk ke bilik jam 4.30 petang sebelum ditemui meninggal dunia.

“Malah, Aidilfitri lalu, saudara mara termasuk nenek Adam juga tegur kulit Adam kelihatan sangat putih bersih dan saya tidak sangka ia adalah petanda sebelum pemergian dam buat selama-lamanya,” katanya memberitahu, jenazah Adam dikebumikan di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kes diklasifikasikan sebagai jenayah atau mati mengejut.

Loading...

Leave a Reply