Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Tak salah PH teruskan projek diilhamkan Kerajaan BN, kata profesor ekonomi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu malu atau rasa bersalah kerana membuat keputusan untuk meneruskan beberapa projek ilham Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang jelas memberikan impak kepada rakyat dan negara.

Profesor Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali berkata, banyak perancangan-perancangan yang telah dibuat sebelum ini sudah mempunyai penilaian dari segi keberkesanan dan limpahan ekonomi.

“Sudah saya perkatakan sebelum ini bahawa kerajaan tidak perlu batal semua projek tetapi nilai semula yang mana Kerajaan PH sudah pun melihat dari segi design (rekabentuk) dan need (keperluan) projek.

“Design yang saya maksudkan ialah dari sudut kos, pembiayaan, struktur dan komposisi pembiayaan. Ini telah pun dilakukan menerusi Projek ECRL (Laluan Kereta Api Pantai Timur).

“Dari segi keperluan pula sudah tentu Projek Bandar Malaysia ini memang mempunyai impak besar kepada negara dan disambut dengan cukup baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion selepas ia diberhentikan secara tiba-tiba pada Mei 2017.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan semasa mesyuarat Kabinet pada 17 April dan IWH-CREC Sdn Bhd, konsortium Malaysia-China, pemaju induk bagi projek itu akan meneruskan kerja-kerja di Bandar Malaysia.

Rancangan asal projek tersebut juga telah diubah dengan memasukkan pembinaan sebuah taman rakyat, 10,000 unit rumah mampu milik, penyertaan Bumiputera, dan memberi keutamaan kepada penggunaan kandungan tempatan dalam proses pembinaan.

Dalam pada itu, Noor Azlan berkata, pengumuman projek itu dilihat tepat pada masanya kerana dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang sedang melanda dunia dan turut dirasai di negara ini maka ia dapat membantu untuk merangsang ekonomi.

“Data ekonomi menunjukkan sektor pembinaan jatuh sebanyak 42 peratus jadi dengan pengumuman ini maka ia memberi satu harapan baharu yang memberi impak positif kepada ekonomi,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, masih banyak yang perlu dilakukan terutama mengumumkan kerangka ekonomi Malaysia yang baharu yang lebih jelas dan menyeluruh.

“Dengan model baharu ini, kita semua dapat pegang dan main peranan masing-masing supaya dapat bersama-sama membantu negara menjadi sebuah ekonomi yang kukuh dan stabil,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén