Portal berita terbaik anda

Politik

Tak salah orang Islam masuk kuil, terima kalungan – Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu tidak mempertikai mana-mana orang Islam yang mahu ke rumah ibadat agama lain selagi tidak mengikuti upacara agama itu.

Menurut Harakahdaily, beliau berkata Islam tidak mengharamkan penganutnya untuk memasuki rumah ibadat agama lain.

Tuan Ibrahim menjadikan Saidina Umar Al-Khattab sebagai contoh yang diketahui pernah memasuki gereja di Palestin.

Katanya lagi, menerima kalungan dengan tujuan meraikan – seperti budaya penganut Hindu yang memakaikan kalung kepada tetamu – juga dibolehkan.

“Yang menjadi kesalahan (selain mengikuti upacara agama) adalah memakai pakaian agama bukan Islam, itu tidak dibolehkan dalam Islam,” katanya lagi seperti dipetik.

Kenyataan itu selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai “tidak konsisten” dalam sikap dan pendekatannya ketika berdepan kelompok yang berlainan.

Berucap dalam ceramah perdana pertama PAS bagi kempen PRK Port Dickson 29 September lalu, Abdul Hadi berkata Anwar akan menunjukkan sisi keagamaan dalam dirinya jika berada di masjid, tetapi akan berpakaian seperti Sikh ketika di rumah ibadat agama itu dan menari tarian India apabila bersama masyarakat India.

Membalas kritikan itu, Anwar berkata beliau sudah berbuat demikian ketika Pakatan Rakyat masih wujud dan malah ada anggota PAS yang bersama-samanya ketika itu.

“Dulu ketika saya pergi (ke program di kuil) semasa Pakatan Rakyat (masih ada), boleh. Sekarang tak boleh,” katanya.

Anwar juga menjelaskan kunjungan beliau ke rumah ibadat agama lain bukan untuk bersembahyang tetapi hanya hadir ke program kebudayaan.

Loading...

Leave a Reply