Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Tak minat politik, anak Ahmad Said pilih jadi penyanyi

ANAK bongsu kepada bekas Menteri Besar Terenggan, Datuk Seri Ahmad Said iaitu Cash Farhan enggan mengikuti jejak langkah bapanya sebagai ahli politik.

Sebaliknya, lelaki berusia 23 tahun itu mahu menceburkan diri dalam bidang seni dan nekad untuk bergelar penyanyi.

Pemilik nama sebenar Muhamad Asyrol Farhan Ahmad itu berkata, percubaan perdananya sebagai penyanyi dimulakan dengan penghasilan single pertama berjudul Trust.

Lagu berkenaan dicipta bersama dengan penyanyi Ewal Ismail manakala lirik ditulis oleh Cash sendiri.

“Sejujurnya, saya memang tidak berminat untuk menyertai bidang politik.

“Hal ini kerana, sejak di bangku sekolah, minat menulis lagu sudah ada. Bagi saya, bidang nyanyian ini lebih menenangkan,” ujar Cash yang turut mempunyai koleksi lagu ciptaannya sendiri.

Biarpun tidak berminat dengan bidak politik, Cash beruntung kerana cita-cita dalam bidang muzik tidak dihalang oleh ibu bapa.

“Saya faham, bidang nyanyian bukanlah satu perkara yang mudah. Tetapi saya bersyukur kerana ibu bapa sentiasa memberikan galakan serta sokongan terhadap kerjaya saya,” ujar Cash lagi.

Selain boleh menyanyi, Cash juga mahir bertutur dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Korea dan Mandarin.

“Saya cuba untuk menggunakan kemahiran yang ada ini sebaik mungkin.

“Saya juga merancang untuk mencipta single kedua dengan gabungan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Korea dan Inggeris,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Cash turut berharap agar pembabitannya dalam bidang seni diterima baik dalam kalangan pencinta muzik tempatan.

“Saya berharap orang ramai di luar sana dapat menilai saya kerana diri saya, bukan kerana status yang ada pada keluarga,” tutup Cash.

Lagu Trust sudah boleh distrim di semua pelantar digital termasuk Spotify dan Youtube.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén