Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Syukor terima Anugerah Pelajar Unggul

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar tingkatan dua, Muhammad Syukor Khamis, 14, hari ini menerima Anugerah Pelajar Unggul dalam satu majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini.

Penghargaan itu diberikan oleh Pejabat Pendidikan daerah ini atas kelebihan dan keunikan tersendiri Muhammad Syukor yang tidak mungkin ada pada pelajar lain iaitu persahabatan erat dengan kerbau peliharaan bapanya.

Pegawai Pendidikan Daerah, Jelani Sulong berkata, sikap ditonjolkan pelajar itu bertepatan dengan saranan Kementerian Pendidikan dalam menerapkan empat budaya penting ketika di sekolah iaitu kebahagiaan, kasih sayang, hormat-menghormati dan kemanusiaan.

“Keempat-empat perkara itu saya percaya ada pada Muhammad Syukor. Dia adalah satu dalam sejuta yang tidak pernah kita jumpa pada anak-anak lain jadi, kita harapkan kepada semua anak-anak dapat mengikuti contoh baik yang ada pada beliau.

“Walaupun bukan pelajar yang terkehadapan dan cuma peringkat pertengahan tetapi dalam masa sama dia dapat menyesuaikan diri dengan haiwan dan berhubung dengan manusia di samping menghormati guru,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada Muhammad Syukor.

Yang hadir sama, Pengetua sekolah itu, Zah Mohamad.

Sementara itu, Muhammad Syukor yang merupakan ketua kelas di sekolah berterima kasih atas penghargaan yang diberikan pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah yang sama sekali tidak dijangka.

Katanya, anugerah berkenaan amat bermakna memandangkan kali pertama dia menerima pengiktirafan tertinggi berkenaan di sekolah.

“Terima kasih kepada guru-guru dan kawan-kawan. Saya akan simpan dan gantung sijil ini,” katanya.

Kisah Muhammad Syukor dengan kerbau menjadi bualan netizen selepas sekeping gambar hasil bidikan Mohd. Nazri Sulaiman menerima anugerah antarabangsa tular dalam media sosial baru-baru ini.

Dengan gelagat serta pelbagai aksi manja, selamba dan bersahaja sambil berbaring di atas belakang kerbau, selain membelai dan menggosok-gosok haiwan itu cukup memberi gambaran keakraban antara insan dengan haiwan peliharaan itu. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén