Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

‘Suspek seorang yang sangat baik dan penyayang’ – Kakak ipar

MELAKA – Cukup menyayat hati!

Namun, ini respon kakak sulung kepada individu yang menjadi mangsa tragedi di Kampung Ladang, Krubong di sini petang semalam.

“Dia sempat menghantar hantar anak bongsu berusia dua tahun ke rumah ibu seperti biasa sebelum pulang ke Singapura tanpa menunjukkan sebarang kelakuan aneh,” kata Norhafizah Bidin.

Norhafizah, 33 tahun berkata adik iparnya yang merupakan warga Singapura yang dikaitkan dengan pembunuhan adik bongsunya Nurfazera, 27 tahun serta anak sulung mangsa Muhammad Iman Asraf Abdullah, 11 tahun itu seorang yang sangat baik dan penyayang terhadap keempat-empat anak tirinya.

Katanya, adik bongsunya yang mesra disapa ‘baby’ dalam kalangan keluarga menetap bersama ibu dan seorang lagi adiknya di Rumah Pangsa Pegaga, Taman Merdeka di sini dan hanya sesekali pulang ke rumah sewanya yang terletak kira-kira dua kilometer apabila suaminya yang bekerja di Singapura pulang bercuti ke Melaka.

“Adik saya dengan dua lagi anaknya hasil perkahwinan terdahulu tinggal bersama ibu di rumah pangsa ini dan hanya akan pulang ke rumah sewanya apabila suaminya yang baharu dikahwini kira-kira setahun lalu pulang bercuti memandangkan dua lagi anak dijaga bekas suami.

“Ahad lalu dia pulang ke rumah sewanya ekoran hari itu merupakan hari ulangtahun kelahirannya dan turut memaklumkan kepada kami dia akan ke Kuala Lumpur keesokannya untuk membeli-belah dan menyambut hari jadi,” katanya yang tinggal di Rawang, Selangor ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pada awalnya mereka sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa termasuk kehilangan dua beranak itu memandangkan suaminya pulang bercuti dari Singapura.

“Hari Selasa pagi adik ipar hantar anak buah umur berusia dua tahun itu ke rumah ibu dan memaklumkan akan terus pulang ke Singapura.

“Ibu sempat bertanya ‘mana baby’ (?) dan dia dalam keadaan tenang memaklumkan tidak tahu tanpa menunjukkan sebarang reaksi mencurigakan mahupun gelabah,” katanya.

Media sosial hari ini tular mengenai satu laporan pembunuhan seorang wanita berusia 27 tahun dan anak lelakinya berusia 11 tahun yang dipercayai dibunuh oleh suaminya sendiri yang merupakan warga Singapura.

Pembunuhan itu dikaitkan dengan mayat individu dipercayai lebih daripada seorang yang menjadi mangsa bunuh apabila bahagian tubuh ditemui berselerakan sekurang-kurangnya lapan bahagian di kawasan semak Kampung Ladang, Krubong, semalam.

Tambahnya, buat masa ini dia dimaklumkan pihak polis akan ambil sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) wakil keluarga bagi memastikan penemuan lapan anggota tubuh manusia semalam milik adik dan anak buahnya ataupun bukan.

“Kalau boleh saya memang hendak tahu dengan cepat siasatan dijalankan pihak polis memangkan kami dimaklumkan banyak lagi bahagian anggota badan yang tidak lengkap termasuk kepala.

“Jadi saya harap orang ramai janganlah sebarkan gambar mahupun maklumat tidak sahih bagi menjaga sensitiviti keluarga kami lebih-lebih lagi seorang lagi adiknya bakal melangsungkan perkahwinan minggu depan,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén