Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Jenayah

Suspek samun rider GrabFood ditahan, seorang masih bebas

SEORANG daripada dua lelaki yang cuba menyamun motosikal Yamaha Y15 milik penghantar makanan Grab Food di Phileo Damansara, Petaling Jaya, 9 Ogos lalu berjaya ditahan polis petang semalam.

Suspek yang berusia 33 tahun ditahan di kawasan Apartmen di Taman Kepong jam 4.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, hasil soal siasat suspek mengaku terbabit dalam kes itu bersama seorang lagi rakannya.

Katanya, polis turut merampas beberapa barang lain daripada suspek seperti batang kunci motosikal jenama Solcar, topi keledar serta motosikal Yamaha 125 yang dipercayai diguna ketika cubaan samun berkenaan.

“Selepas ditahan, suspek mengaku terbabit dalam kes cubaan samun itu dan kawad cam dijalankan oleh mangsa juga mendapati lelaki itu sebagai individu dalam kejadian berkenaan.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan curi kenderaan bermotor, mencuri dan memiliki barang curi mengikut Seksyen 379A, Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga Khamis ini.

Katanya, polis sedang memburu seorang lagi suspek yang sudah pun dikenal pasti.

“Suspek pertama yang ditahan itu mengakui mengenali rakan itu ketika berada di Penjara Kajang pada 2010.

“Susulan itu, polis kini sedang memburu suspek kedua berkenaan,” katanya.

Pada 9 Ogos lalu, penghantar makanan Grab Food cedera selepas bergelut dengan dua penjenayah yang cuba menyamun Yamaha Y15 berhampiran Phileo Damansara, jam 2.53 petang.

Ketika kejadian, mangsa berusia 22 tahun dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan di Phileo Damansara 2, sebelum dihampiri suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125z.

Seorang suspek mengarahkan mangsa turun dari motosikal dan menyatakan motosikal yang dinaiki adalah motosikal curi dan ingin mengambilnya.

Mangsa bergelut dengan dua penjenayah berkenaan sebelum dua suspek terbabit melarikan diri apabila mangsa bertindak melawan.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén