Suspek rogol pengantin baharu di Dungun berjaya diberkas

DUNGUN: Selepas hampir 100 hari diburu, suspek kes samun dan rogol membabitkan seorang pengantin baharu akhirnya diberkas.

Suspek berusia 27 itu ditahan di rumahnya di Kampung Lombong, Paka pada 20 Jan lalu pada pukul 11.30 malam.

Dalam kejadian pada 5 Okt lalu, mangsa, seorang surirumah berusia 30 tahun, terkejut dengan kehadiran suspek yang menceroboh masuk ke rumah sewanya di Paka di sini pada pukul 5.40 pagi.

Suspek yang tidak dikenali mangsa, memakai seluar dalam tanpa baju serta bertopeng sebelum mengajak mangsa mengadakan hubungan seks.

Apabila mangsa menolak ajakan suspek sambil berkata dia telah bersuami, suspek meletakkan gunting di leher mangsa.

Selesai merogol mangsa, suspek mengugut meminta barang berharga sebelum mangsa menyerahkan wang tunai RM200 dan sebuah telefon bimbit.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan baru beberapa bulan berkahwin dan tinggal bersendirian sementara suaminya bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

“Mangsa mengecam suspek melalui kawad cam. Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *