Portal berita terbaik anda

Jenayah

Suspek persenda solat mengaku niatnya hanya bergurau

IPOH – Polis menahan seorang lelaki dan wanita yang disyaki terlibat dalam video mempersenda agama Islam.

Kedua-dua mereka berusia 20 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dalam serbuan rumah berasingan di Taman Kledang, Menglembu dan Taman Silibin Ria kira-kira jam 11.15 hingga 11.55 malam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati dua individu itu mengaku terlibat dalam video berkenaan dan melakukannya atas niat bergurau.

Menurutnya, video itu dirakam di sebuah ‘homestay’ di Taman Lapangan Terbang pada 28 Oktober tahun lalu.

“Lelaki yang bekerja sebagai jurujual itu mengaku melakukan watak solat seperti dalam video berkenaan manakala wanita yang masih menuntut di sebuah kolej itu bertindak merakam menggunakan telefon bimbit.

“Bagaimanapun, wanita itu memadam video di akaun Instagramnya kerana takut selepas tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, serbuan turut merampas dua telefon bimbit milik suspek iaitu jenis Huawei Nova 3i dan iPhone Xs.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan melukakan perasaan umat Islam

“Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Video berdurasi 28 saat yang memaparkan seorang lelaki melakukan solat dengan tunduk seperti sujud dan berdoa sambil ketawa itu tular semalam dan disifatkan netizen sebagai tidak menghormati agama Islam.

Loading...

Leave a Reply