Suspek kes bunuh dua beradik positif ganja

YAN – Suspek kes bunuh yang mengelar dan menetak dua beradik sampai mati di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai, di sini disahkan positif ganja dalam ujian saringan air kencing.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya telah mendapat keputusan tersebut dan akan dimasukkan ke dalam kertas siasatan bagi melengkapkan kes.

Beliau berkata, punca kematian dua beradik itu juga telah diperoleh iaitu saluran darah utama serta pernafasan mereka terputus akibat dikelar dengan menggunakan parang.

Dalam tragedi menyayat hati kira-kira pukul 11.45 malam kelmarin, Nurul Hanim Idris, 5, dan Mohammad Hafiz, 1, yang sedang tidur dipercayai ditetak dan dikelar seorang lelaki berusia 49 tahun yang juga kenalan bapa mereka.

Suspek yang tinggal di kampung sama kini direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, jenazah dua beradik berkenaan selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Yan kira-kira pukul 7.20 malam, sebaik sahaja azan Magrhib berkumandang. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *