Suspek amuk tiada rekod sakit mental

0
733

SUSPEK yang menetak mati tiga kanak-kanak dan mencederakan empat mangsa lain di Kampung Sungai Haji Muhamad, Bagan Datuk, hari ini dilaporkan tidak mempunyai rekod sakit mental.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun dipercayai berhalusinasi dan mendengar bisikan sebelum kejadian berlaku.

Baca: ‘Aku dah tak ada apa-apa lagi’ – Bapa mangsa kelar

“Polis berjaya menahan lelaki terbabit berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhamad selepas suspek melepaskan parang panjang yang dipegangnya.

“Semakan awal mendapati suspek yang juga rakan sekerja kepada bapa tiga kanak-kanak yang dibunuh dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta tiada rekod rawatan sakit mental,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yahya berkata, pihaknya bagaimanapun akan menahan reman lelaki terbabit untuk siasatan lanjut termasuk menjalankan ujian air kencing bagi mengenal pasti sama ada suspek positif dadah atau sebaliknya.

“Motif pembunuhan juga masih dalam siasatan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ketiga-tiga mangsa yang maut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat esok, manakala ibu mangsa serta anak sulungnya kini dirawat di Hospital Teluk Intan dan ibu mangsa mungkin akan dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, tiga beradik yang maut itu adalah Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2, abangnya Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.

Baca: Tiga beradik mati dikelar dalam kejadian amuk

Turut cedera dalam kejadian itu adalah ibu mangsa Zuraidah Md Ali, 35, yang putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus serta anak sulung Nur Zuryn Faziera, 9, yang cedera di kepala dan tangan kanan juga akibat ditetak.

Rakan sekolah anak sulung keluarga berkenaan dikenali sebagai Aina, 9, dan seorang ustaz dikenali sebagai Riduan, 40, juga cedera dalam kejadian itu apabila suspek ke sekolah berhampiran untuk menetak Nur Zuryn Faziera yang ketika itu berada di pondok di hadapan sekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here