Suri rumah terlepas peluang mengundi selepas 3 jam perjalanan balik

LIPIS: Seorang suri rumah terlepas peluang untuk mengundi apabila tiba lewat dua minit di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, dekat sini.

Bidah Bahnab, 42, yang kini menetap di Bidor, Perak, mengambil masa tiga jam perjalanan untuk balik mengundi, namun dimaklumkan pengawal keselamatan sekolah berkenaan bahawa pusat mengundi sudah ditutup tepat jam 3.30 petang.

Bidah adalah daripada suku kaum Semai dan menetap di Kampung Kabang, dekat Pos Betau, sebelum berpindah ke Perak kira-kira tiga tahun lalu.

Suaminya, Ah Kiong, 52, ketika ditemui berkata, beliau tidak dapat memandu dengan laju kerana dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun muntah-muntah ketika dalam perjalanan, kerana laluan yang bengkang-bengkok.

“Anak kami beberapa kali muntah ketika dalam perjalanan tadi. Jadi, saya terpaksa memandu dengan perlahan… jalan ke sini juga banyak selekoh yang bahaya, jadi kena berhati-hati.

“Isteri saja yang masih berdaftar sebagai pengundi di sini, saya sudah memindahkan nama untuk mengundi di sana (Perak)… masa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kami sempat balik untuk mengundi, kali ini, kami tidak bernasib baik,” katanya.

Ah Kiong berkata, mereka bertolak dari Bidor, Perak sekitar jam 11 pagi tadi kerana ingatkan pusat mengundi hanya akan ditutup jam 5.30 petang.

Katanya, mereka sekeluarga perlu bergegas pulang ke Perak petang ini juga, memandangkan empat lagi anak dan cucu mereka dijaga oleh saudara di sana.

Pusat mengundi SK Betau mempunyai 1,345 pengundi berdaftar adalah pusat mengundi paling lewat ditutup bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Pilihan Raya Kecil PRK Cameron Highlands hari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran; calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor dan dua calon BEBAS, Sallehudin Ab Talib dan Wong See Yee.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *