Suri rumah maut, kereta terputus dua rempuh pokok

SEORANG suri rumah berusia 28 tahun maut manakala suaminya parah selepas kereta dinaiki hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok jati di Kilometer 12.8, Jalan Padang Melangit-Guar Jentik, Kangar semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Farah Nurul Hassamiah Mohamed Abidan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Suami mangsa, Muhd. Hafizudin Bakar, 28, yang bekerja sebagai mekanik mengalami kecederaan patah tulang pinggul dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta jenis Honda Civic Ex bersama seorang penumpang dari arah Jalan Padang Melangit ke Guar Jentik hilang kawalan lalu melanggar pokok di sebelah kiri jalan.

“Akibat daripada perlanggaran itu, kereta tersebut telah terputus dua serta remuk teruk dan seorang wanita yang berada di tempat duduk penumpang ditemui dalam keadaan tersepit di dalam kenderaan berkenaan.

“Wanita terbabit yang mengalami kecederaan serius pada kepala dan badan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, kemalangan berlaku di jalan lurus dalam keadaan gelap kerana tiada lampu jalan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” tambahnya. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *