Portal berita terbaik anda

Politik

Sultan Kedah tiada kuasa pecat MB, kata pegawai Mukhriz

Kuala Lumpur – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dikatakan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memecat Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Perkara itu dinyatakan oleh salah seorang Pegawai MB Kedah, Hafiz Azmi melalui laman Facebooknya.

“Hanya ada 2 cara untuk menukar Menteri Besar Kedah. Pertama, dalam Pilihanraya, sama ada Umum ataupun Negeri.

“Kedua, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (melalui) usul undi tidak percaya kepada YAB MB.

“KDYMM Tuanku Sultan boleh melantik seseorang MB, tetapi tidak boleh memecat. Ini termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah,” tulisnya semalam.

Hafiz melalui status yang sama turut mendakwa sehingga kini Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih lagi merupakan MB yang sah.

Dia turut berkata tindakan Mukhriz meletakan jawatan ketika krisis yang berlaku pada tahun 2016 adalah satu tindakan yang silap.

Sementara itu Penganalisis Politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, kedudukan kerajaan negeri ketika ini bergantung sepenuhnya kepada keputusan Sultan Kedah.

Katanya, usul undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa ini tidak perlu berikutan Baginda mempunyai pilihan sama ada untuk menitah setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengadap dan menyatakan sokongan mereka.

“Contohnya seperti berlaku di Perak sebelum ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua ADUN menyatakan sokongan dan hanya gabungan parti yang mempunyai majoriti sahaja boleh membentuk kerajaan.

“Ataupun Tuanku menerima dan mempercayai akuan bersumpah (SD) yang dipersembahkan oleh pembangkang yang mendakwa sudah mempunyai SD yang ditandatangani 23 ADUN.

“Jika Tuanku rasa itu betul maka baginda boleh bersetuju untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai krisis yang sedang melanda negeri Jelapang Padi itu.

Terdahulu, Mukhriz menegaskan beliau masih memegang jawatan Menteri Besar dan kerajaan negeri pimpinannya masih beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, pada Rabu.

Difahamkan mesyuarat tersebut tidak dihadiri oleh dua ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kedah.

Kedua-dua mereka iaitu, EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Halimaton Shaadiah Saad dan EXCO Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Firdaus Ahmad, dilaporkan tidak lagi menyokong kepemimpinan Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, EXCO Pertanian dan Sumber Tani, Azman Nasrudin yang mengumumkan keluar PKR Selasa lalu, turut tidak hadir mesyuarat pagi tersebut.

PN Kedah sebelum ini mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada BERSATU.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata 23 ADUN terbabit adalah 15 daripada PAS, BERSATU (4), UMNO (2) dan dua bekas ADUN PKR.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, PKR (5), AMANAH (4), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (4), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (2), UMNO (2) dan Bebas (2). – SuaraTV

Loading...

Leave a Reply