Portal berita terbaik anda

Politik

‘Suka atau tidak mereka terpaksa undi PH’ – Amaran Muhyiddin buat warga Semenyih

Sehari sebelum pengundi Semenyih membuat pilihan esok, Presiden PPBM Muhyiddin Yassin berkata hanya calon parti itu yang dapat memberi khidmat yang diperlukan oleh penduduk di situ, bukannya calon pembangkang.

Sama seperti Dr Mahathir Mohamad semalam, Muhyiddin menjadikan kedudukan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan di persekutuan dan negeri sebagai penarik.

“Kerajaan pusat adalah PH, kerajaan negeri juga PH. Jadi dari segi logiknya, takkan pilih pembangkang? Kalau tak suka (PH) pun, mahu tak mahu kena sokong.

“Saya tak percaya calon BN atau calon lain boleh memberi khidmat (deliver). Mereka boleh janji macam-macam tetapi tiada kapasiti untuk berkhidmat.

“Jadi dengan ini saya harap pengundi Semenyih akan sokong kita,” katanya ketika sidang media di bilik gerakan utama PH di Taman Pelangi, Semenyih hari ini.

Semalam, Mahathir yang merupakan pengerusi PH berkata pengundi Semenyih hanya akan mensia-siakan undi mereka jika memilih pembangkang.

Katanya, ini kerana mereka tidak mampu melaksanakan pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat kerana tiada kuasa di peringkat negeri dan persekutuan.

Beberapa tinjauan berkenaan PRK Semenyih tidak menyebelahi PH apabila meramalkan BN akan merampas kembali kerusi DUN itu.

Antaranya oleh badan kaji selidik Ilham Centre dan sebuah agensi kerajaan. Ilham Centre berkata PH memerlukan formula ajaib – peratus keluar mengundi dan aras sokongan sama seperti PRU ke-14 – untuk mengekalkan kemenangan.

Mengulas perkara itu, Muhyiddin berkata beliau tidak bimbang dan menyifatkan semua pihak masih berpeluang.

“Dua hari ini, sebelum esok hari mengundi, saya anggap masa yang paling kritikal,” katanya.

Menyentuh soal janji manifesto PH yang belum ditunaikan – yang turut dikatakan faktor yang akan mempengaruhi keputusan esok – Muhyiddin sekali lagi meminta rakyat memberi lebih masa kepada PH.

“Itu yang kita tuntut supaya rakyat bagi kita (lebih masa). Saya tak fikir sembilan bulan kita boleh selesaikan semua masalah,” katanya lagi.

Esok, 54,503 pengundi berdaftar di DUN Semenyih akan membuat pilihan antara calon PH Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (Bebas).

Loading...

Leave a Reply