Suami meninggal ketika main bola, luahan isteri undang sebak

KUALA LUMPUR – Pegawai Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang sedang menyambung pelajaran peringkat doktor falsafah (PhD) di United Kingdom meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Northern General Hospital di Sheffield, United Kingdom (UK), semalam.

Muhammad Hafidz Abdullah, 36, penuntut tahun kedua pengajian PhD di University of Sheffied dimasukkan ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan selepas rebah ketika bermain bola sepak Ahad lalu.

Difahamkan, pasukan perubatan menasihati isterinya, Nazihahwati Mohiddin berhubung keadaan mangsa sebelum membuat keputusan untuk menghentikan alat bantuan pernafasan semalam.

Bapa kepada dua anak yang masih kecil itu disahkan meninggal dunia pada 11.35 pagi.

Jenazah akan dibawa pulang ke tanah air untuk dikebumikan di Pontian, Johor selepas semua proses pengurusan dan dokumentasi selesai.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPSM, Datuk Mohd Ridza Awang berkata, arwah adalah pensyarah di Bahagian Latihan Perhutanan JPSM sebelum diluluskan hadiah latihan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk cuti belajar bergaji penuh di UK.

“Arwah adalah seorang pegawai yang berdedikasi dan komited dengan kerjanya.

“Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan rakan sekerja dan pegawai atasannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemergian Muhammad Hafidz adalah satu kehilangan besar kepada jabatan dan perkhidmatan awam.

Pada masa yang sama, isteri arwah berkata, dia terkejut dengan pemergian suami secara tiba-tiba namun menerima ketentuan Ilahi itu dengan redha.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Nazihah menyifatkan suaminya seorang insan yang bertanggungjawab dan sabar melayani setiap karenah ahli keluarga.

“Abang, terima kasih di atas setiap kesabaran abang melayan sayang selama ini. Abang memang suami yang terhebat dan Papa yang terbaik untuk anak anak,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *