Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Suami isteri maut, dua cucu cedera dalam nahas

GERIK – Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) selepas kawasan rehat dan rawat Banjaran Titiwangsa di sini hari ini.

Nahas itu mengorbankan pemandu Perodua Axia, Muhamad Zaidi Mohamad Dahalan, 57, dan isteri, Rosmiza Mohd. Zain, 51, di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Kemalangan itu turut mengakibatkan sepasang cucu mangsa berusia tujuh dan sembilan tahun cedera ringan dan dibawa ke Hospital Jeli di Kelantan untuk rawatan oleh orang awam.

Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kelantan ke Kedah sebelum terlibat nahas membabitkan lori kargo 16 tan.

Difahamkan Muhamad Zaidi merupakan anggota polis berpangkat sarjan yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, Kelantan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dn Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.59 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik dihantar ke lokasi kejadian untuk tugas-tugas menyelamat mangsa.

“Setiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan lori dan kereta di mana sepasang suami isteri cedera parah dan disahkan maut di lokasi kejadian.

“Dua lagi mangsa yang cedera telah dibawa keluar oleh orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan. Pemandu lori bagaimanapun tidak cedera,” katanya.

Menurut beliau, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit segera dilakukan dan mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply