Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Status penduduk tetap Zakir Naik boleh ditarik balik – Tun M

SEPANG – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, status penduduk tetap (PR) pendakwah Islam, Dr. Zakir Naik, boleh ditarik balik sekiranya perbuatannya terbukti menjejaskan kesejahteraan negara.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan akan menunggu penyiasatan polis terhadap dakwaan kenyataan sensitif oleh pendakwah itu terhadap kaum Cina dan India di Malaysia.

“Beliau (Zakir) mempunyai status PR. Kita boleh menarik balik status PR itu jika beliau melakukan sesuatu yang menjejaskan kesejahteraan negara.

“Pada masa ini polis sedang menyiasat sekiranya beliau melakukannya atau tidak. Jika beliau berbuat demikian, maka kita perlu menarik balik status PR beliau,” kata Dr. Mahathir kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat AirAsia, RedQ di sini.

Dr. Mahathir berkata terdapat keperluan untuk mengambil tindakan menghalang Zakir daripada membuat ucapan provokatif, yang dilihat cuba melaga-lagakan pelbagai kaum.

Semasa ditanya sama ada beliau akan menuntut permohonan maaf daripada Zakir, Dr Mahathir berkata: “Pada masa ini, biarlah polis menyiasat keseriusan kenyataan yang beliau buat”.

Mengenai ketidakpuasan kerajaan Sabah berhubung kurangnya penglibatan dalam beberapa isu termasuk isu tulisan khat, Dr. Mahathir berkata, kerajaan Sabah tidak mengatakan apa-apa kepada kerajaan Persekutuan.

Dr. Mahathir berkata, adalah tidak wajar untuk menyatakan Sabah untuk rakyat Sabah, Sarawak untuk rakyat Sarawak dan Semenanjung untuk orang Semenanjung.

“Itu suatu yang tidak baik. Kita harap kita hanya memikirkan diri kita sebagai Malaysia dan bukan sebagai kawasan tertentu,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Theme by Anders Norén