Portal berita terbaik anda

Utama

SST berjaya turunkan harga 291 barangan

KUALA LUMPUR – Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berjaya menurunkan harga 291 jenis barangan sejak ia dilaksanakan semula September lepas.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata kajian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu menunjukkan 70 peratus daripada 417 barangan merangkumi enam kategori mengalami penurunan harga.

“Satu kajian telah dibuat oleh KPDNHEP ke atas pelaksanaan SST dari sudut harga bagi 417 barangan merangkumi enam kategori iaitu barangan segar (136), barangan kering (25), barangan berbungkus, tin, pek dan botol (59), minuman (25), makanan dan barangan bayi (49) dan barangan kebersihan (23).

“Dari analisis perubahan harga dibuat berdasarkan perbandingan harga purata antara bulan Mei 2018 dan September 2018 secara keseluruhanya, 70 peratus atau 291 barangan mencatatkan penurunan, 27 peratus atau 115 item mengalami kenaikan purata dan tiga peratus, 11 item tiada perubahan harga,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2018 di Dewan Negara hari ini.

Bagaimanapun, apa yang berlaku kini ialah penurunan itu tidak digembar-gemburkan berbanding 27 peratus barangan yang mengalami kenaikan memberi impak seolah-olah SST menyebabkan kenaikan kepada keseluruhan harga barangan.

RUU yang bertujuan untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Akta Setem 1949, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Akta Cukai Jualan 2018 itu kemudian diluluskan dewan.

RUU adalah langkah menambahbaik peruntukan perundangan percukaian, penguatkuasaan dan memperkukuh layanan cukai sedia ada yang memerlukan pindaan akta-akta berkenaan.

RUU itu diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 10 Dis lepas.

Sementara itu, dewan turut meluluskan enam RUU lain iaitu RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2018, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2018, RUU Kastam (Pindaan) (no.2) 2018, RUU Eksais (Pindaan) 2018, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2018. – Bernama

Loading...

Leave a Reply