Portal berita terbaik anda

Politik

SPRM sahkan tiada dana RM90 juta masuk akaun PAS

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dana RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun bank rasmi Pas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, siasatan agensi itu sejak 6 Februari lalu tidak menjumpai apa-apa transaksi yang membuktikan dakwaan tersebut.

“Siasatan SPRM setakat ini tiada dana RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun (bank) Pas,” katanya pada sidang akhbar pada majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Seramai 22 ADUN Terengganu diketuai Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah membacakan ikrar tersebut dihadapan Mohd. Shukri.

Di tanya sama ada siasatan berhubung dakwaan terhadap parti pembangkang tersebut akan ditutup atau sebaliknya, Mohd. Syukri enggan mengulas lanjut sebaliknya menyerahkan tindakan seterusnya kepada Bahagian Siasatan SPRM.

Sebelum ini, SPRM telah memanggil beberapa pemimpin Pas seperti Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa untuk membantu siasatan kes berkenaan. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply