Skandal 1MDB akan dimasukkan dalam kurikulum sejarah Malaysia – Maszlee

0
524

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan memastikan skandal 1MDB dimasukkan ke dalam silibus sejarah Malaysia yang baharu sebagai satu usaha memastikan ia dipelajari, dan tidak akan diulangi oleh generasi akan datang.

Menterinya, Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) berkata, turut akan dimasukkan dalam silibus itu ialah senarai kes-kes besar khazanah negara yang beliau dakwa disamun oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

“Saya setuju dengan pandangan Pontian tentang sesuatu kesilapan dalam sejarah, perlu dipelajari agar tidak diulangi. Saya beri jaminan isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia supaya tidak diulangi,” kata Maszlee.

“Begitu juga dengan jenayah besar yang dilakukan ahli politik dalam menyamun,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) sewaktu sesi Dewan Rakyat, pagi ini.

Terdahulu, sewaktu menjawab soalan Hasanudin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Maszlee memaklumkan Dewan Rakyat bahawa pihak kementerian akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji silibus sejarah yang diguna pakai di negara ini.

“Untuk makluman dewan, KPM akan menubuhkan jawatankuasa penambahbaikan kurikulum dan buku teks sejarah, dan jawatankuasa ini akan berkerjasama dengan jawatankuasa sedia ada.

“KPM juga akan mengadakan beberapa siri wacana dengan pakar sejarawan bagi mendapatkan perspektif sejarah dengan naratif yang lebih segar dan lebih produktif,” katanya.

Maszlee turut menyeru pihak media agar membantu mengenengahkan pakar-pakar sejarah yang selama ini tidak mendapat liputan sewajarnya, dalam usaha memastikan ilmu pengetahuan mereka dapat digunapakai dalam proses menambahbaik silibus sejarah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here