Siti Kasim bebas dakwaan tunjuk jari tengah

Pejabat Peguam Negara menggugurkan arahan untuk mendakwa peguam Siti Kasim yang didakwa mengacungkan jari tengah di sebuah forum dua tahun lalu, kata polis Selangor.

Fadzil Ahmat, yang merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah berkata, keputusan itu dibuat selepas Pejabat Peguam Negara menarik semula kertas siasatan kes itu Ahad lalu.

“Pada 10/02/2019 kertas siasatan tersebut telah dipanggil semula oleh Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

Setelah meneliti semula segala fakta dan keterangan, pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan arahan pertuduhan yang dikeluarkan pada 18/04/2018 adalah dibatalkan,” kata Fadzil dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan Fadzil hadir empat hari selepas polis memberitahu peguam bahawa Siti Kasim akan didakwa kerana tindakan mengacungkan jari tengah di khalayak ramai dalam forum di Shah Alam pada 2016.

Kejadian itu dikatakan berlaku apabila Siti Kasim yang hadir forum itu bercakap tentang penguatkuasaan undang-undang Syariah yang tidak disenangi hadirin.

Dalam kenyataan di Facebooknya hari ini, Siti Kasim memaklumkan pembatalan dakwaan ke atasnya dan menyifatkan ia sebagai “pertimbangan waras”.

“Terima kasih kepada ibu pejabat polis Subang terutamanya pegawai yang membawa fail kes ke Pejabat Peguam Negara untuk menyemak dakwaan jahat ini.

“Saya bersyukur kerana akhirnya pertimbangan waras masih wujud,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here