Portal berita terbaik anda

Utama

SIS risau Terengganu lulus hampir 400 permohonan kahwin bawah umur dalam 5 tahun

NGO Sisters In Islam menyuarakan kebimbangan dengan langkah kerajaan Terengganu meluluskan lebih separuh permohonan perkahwinan bawah umur antara 2013 hingga 2018.

“Daripada 444 permohonan antara 2013 hingga 2018 di negeri itu, 397 diluluskan. Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, permohonan itu melibatkan 522 kanak-kanak.

“Kami bimbang kerana angka ini menunjukkan sekurang-kurangnya 125 perkahwinan bawah umur melibatkan pasangan yang lebih berusia (bukan bawah umur).

“Kami juga bimbang lebih separuh daripada pemohon yang lulus berusia bawah 15 tahun, dengan 10 permohonan melibatkan mereka berusia 13 tahun,” kata SIS dalam kenyataan, semalam.

NGO itu mengulas kenyataan oleh Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd seperti yang dipetik Bernama, semalam.

Wan Mohd Zakri berkata, kelulusan tidak diberikan sewenang-wenangnya kecuali melibatkan tiga faktor, iaitu perempuan tersebut telah melahirkan anak, sedang mengandung atau pasangan tersebut telah melakukan hubungan seks.

Menurut laporan itu lagi, rekod Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menunjukkan 444 permohonan untuk berkahwin bawah umur itu melibatkan seramai 522 kanak-kanak iaitu 155 pemohon berumur 17 tahun, 40 orang (16 tahun), 277 orang (15 tahun), 40 orang (14 tahun) dan 10 orang (13 tahun).

“Daripada 444 permohonan itu, sebanyak 405 permohonan melibatkan seorang pemohon bawah umur (kebiasaannya perempuan) manakala 39 kes lagi melibatkan kedua-dua pemohon bawah umur,” kata Wan Mohd Zakri seperti dipetik.

Katanya lagi, antara alasan yang sering diberi untuk permohonan perkahwinan bawah umur ini ialah suka sama suka, ingin berkahwin, meringankan beban keluarga dan mengelak maksiat.

Mengulas perkara itu, SIS berkata ia mengejutkan kerana mahkamah sepatutnya mengutamakan “keperluan, bukan kehendak, kanak-kanak terlibat dan keperluan utama mereka adalah pendidikan”.

Berhubung permohonan yang diluluskan hamil di luar nikah dan kerana telah melakukan hubungan seks, SIS berkata ia merupakan trend bahaya kerana mengetepikan soal rogol statutori.

“Hubungan seks (dengan persetujuan atau tidak) dengan kanak-kanak bawah umur dikira rogol statutori di negara kita, dan pelaku dewasa dibenarkan untuk memintas undang-undang hanya dengan mengahwini mangsanya.

“Penting untuk mahkamah melindungi kanak-kanak yang belum memahami maksud ‘persetujuan’ dan risiko berkaitan seks, terutama apabila dipujuk oleh individu yang jauh lebih berusia,” katanya.

SIS menggesa Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu mengutamakan pendidikan dan perlindungan terhadap kanak-kanak dengan menaikkan had umur berkahwin kepada 18 tahun untuk kedua-dua jantina, bukan mengekalkan had sedia ada iaitu 18 tahun untuk lelaki dan 16 tahun untuk perempuan.

Kerajaan sebelum ini menyatakan hasrat untuk menyelaraskan had umur berkahwin kepada 18 tahun untuk lelaki dan perempuan di seluruh negeri.

Loading...

Leave a Reply