Portal berita terbaik anda

Politik

‘Siapa tinggalkan Umno, orang itu bijak’ – Mat Sabu

Walaupun ada pihak yang kurang senang melihat ‘penghijrahan’ beramai-ramai pemimpin Umno Sabah baru-baru ini Mohamad Sabu pula berpendapat sebaliknya.

Malah presiden PAN itu berpendapat mereka sebenarnya mengambil langkah bijak.

Malah beliau menasihati pemimpin lain yang masih bersama Umno agar mengambil tindakan sama – meninggalkan parti berkenaan.

“Mereka tinggalkan Umno tu langkah yang cukup bijak.

“Kapal dah karam, baik keluarlah semua,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen PAN di Ipoh, Perak hari ini.

Disoal tentang dakwaan sesetengah pihak bahawa perkara itu akan menyusahkan Pakatan Harapan (PH), Mohamad menafikan hal tersebut.

Malah, kata menteri pertahanan itu PAN sendiri tidak pernah menutup pintunya kepada pemimpin dari mana-mana parti untuk menyertai mereka.

Bukan di Sabah saja

“Mereka tidak menyusahkan. Boleh keluar, buat (kerja dari luar pun boleh).

“Kalau ada permohonan diterima untuk mereka menyertai mana-mana parti PH, kami akan bincangkan dulu,” katanya.

Menurut anggota parlimen Kota Raja itu lagi isu berkenaan juga terbuka untuk dibincangkan pada konvensyen kali ini jika ia dibangkitkan perwakilan.

Untuk rekod dua hari lalu Umno Sabah mengalami tamparan serius apabila sekumpulan besar wakil rakyat serta ketua bahagian mereka meninggalkan parti untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Seorang daripada mereka ialah tokoh yang dilantik menjadi pengerusi Umno Sabah, iaitu Hajiji Noor.

Tindakan pemimpin Umno itu menjadikan bilangan keseluruhan kerusi parlimen Umno kini tinggal 44 kerusi dengan hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah.

Di Semenanjung Malaysia pula satu demi satu pemimpin Umno mengumumkan mereka meninggalkan parti itu.

Terbaru, bekas setiausaha agung Umno Radzi Sheikh Ahmad.

Loading...

Leave a Reply