Portal berita terbaik anda

Politik

Siapa pun jadi AG tak kisah, janji beriman – MP PAS

Seorang anggota parlimen PAS tampil menyokong sesiapa sahaja untuk dilantik sebagai peguam negara (AG) yang baru, dengan syarat individu tersebut mestilah berintergriti tinggi dan beriman.

“Saya sokong lantikan AG tanpa mengira siapa mereka asalkan yang berintegriti tinggi, yang meletakkan tanda aras adil dan integritinya adalah iman kepada Allah dan balasan hari akhirat. Titik,” kata anggota parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) menamakan peguam kanan Tommy Thomas sebagai calon jawatan tersebut.

Menurut laporan, nama Tommy dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong lebih seminggu lalu namun setakat ini belum mendapat perkenan daripada baginda.

Malah, difahamkan pemilihan Mesyuarat Majlis Raja-raja dikatakan menggesa agar nama yang diberikan untuk jawatan itu adalah daripada orang Muslim.

Memetik sumber, kerajaan setakat ini hanya mengangkat Tommy sebagai satu-satunya cadangan kepada Majlis Raja-raja.

“Tiada nama lain selain Tommy. Hanya satu nama diserahkan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Berikan sedikit masa untuk Mesyuarat Majlis Raja-raja mempertimbangkan cadangan itu. Percaya dengan proses. Kami menghormati kebijaksanaan Mesyuarat Majlis Raja-raja,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Ahmad Marzuk menegaskan, isu pelantikan peguam negara itu sepatutnya diselesaikan secara tertutup oleh perdana menteri bagi mengelak kontroversi.

Katanya, pihak yang sepatutnya mengetahui sama ada Yang di-Pertuan Agong menolak atau terima hanya perdana menteri.

“Perlukah dihebohkan penolakan ini kepada umum? Adalah lebih manis untuk elak kontroversi perdana menteri perlu selesaikan dengan cara tertutup.

“Jangan heret Yang di-Pertuan Agong ke medan persepsi yang melampau,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Loading...

Leave a Reply