Sewa kereta mewah untuk beraya di kampung

0
5841

“Biar papa, asal bergaya”, itulah perumpamaan bagi seseorang individu yang sanggup berhabisan duit termasuk ada yang rela berhutang sana sini semata-mata mahu tampil bergaya.

Sesuai dengan perumpamaan itu, Kosmo hari ini memaparkan laporan mengenai segelintir rakyat Malaysia yang menghabiskan jutaan ringgit bagi menyewa kenderaan mewah untuk dibawa pulang ke kampung halaman pada hari raya, bercuti atau pun sekadar mahu dibawa ke majlis perkahwinan.

Menurut laporan terbabit, trend yang dikatakan makin menjadi-jadi itu sehingga membuatkan seseorang sanggup berbelanja besar untuk menyewa kereta mewah termasuk BMW, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz dengan kadar sewaan antara RM10,000 hingga RM19,600 seminggu.

Manakala model kereta yang lebih sederhana seperti Honda City, Toyota Vios dan Perodua Myvi pula disewa pada kadar antara RM1,000 hingga RM1,700 seminggu.

Presiden Koperasi Pengusaha Kereta Sewa Malaysia Bhd, (Kopkes), Mohd Afendi Aman berkata, pihaknya menganggarkan sebanyak 137 buah syarikat kereta sewa yang bernaung di bawah Kokpes bakal mengaut keuntungan sehingga RM5 juta bagi aktiviti sewa kereta pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Anggaran keuntungan tersebut berdasarkan perkiraan purata sewa kenderaan daripada pelbagai jenis, daripada Vellfire hinggalah Myvi dengan harga serendah RM200 sehari bagi setiap yang meyewanya.

“RM5 juta itu adalah anggaran yang dikutip dalam kalangan 137 ahli Kopkes. Macam mana pula dengan ratusan syarikat sewa kereta yang lain yang tidak menjadi ahli Kopkes.

Trend sewa kereta sudah menjadi trend biasa di kalangan rakyat Malaysia dan tidak sukar mencari syarikat yang menjalankan perniagaan menyewa kenderaan,” ujarnya sambil menambah terdapat lebih 1,000 syarikat seumpama ini di Malaysia dan jika diambil kira, nilai sewaan tersebut boleh mencecah lebih RM10 juta.

Laporan terbabit turut menyebut terdapat beberapa alasan yang diberikan bagi pelanggan yang memilih untuk menyewa kenderaan sebegini. Ada yang sanggup membayar RM3,800 seminggu semata-mata mahu menyewa Hyundai Starex demi keselesaannya sekeluarga untuk bertandang ke rumah sanak saudara pada hari raya.

Ada juga yang memilih Honda Civic dengan kadar sewaan RM2,450 seminggu kerana tidak mahu terikat untuk membayar ansuran bulan kereta dan cukup sekadar memiliki sebuah motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja.

Malah seorang pengusaha syarikat sewa kereta memberitahu, ada pelanggannya yang sanggup berbelanja sebanyak RM9,000 untuk menyewa Vellfire pada saat akhir walau pun sedar terpaksa mengeluarkan kos yang besar sedangkan sewaan biasa hanya sekitar RM3,000 seminggu.

Bukan itu sahaja, ada yang sengaja menyewa kereta mewah semata-mata mahu nampak lebih bergaya ketika pulang berhari raya ke kampung halaman, selain ada yang terpaksa menyewa kereta kerana kereta peribadi mengalami kerosakan.

Walau bagaimana pun cara anda memilih untuk bergaya pada hari raya, amalkanlah berbelanja secara berhemah.

Ikutlah resam, “ukur baju di badan sendiri” iaitu berbelanjalah ikut kemampuan dan tahap kewangan sendiri. Bukannya dengan niat mahu menunjuk-nunjuk, riak, sanggup berbelanja di luar kemampuan dan ada yang sanggup berhutang sana sini, asalkan dapat memenuhi citarasa yang tinggi itu.

Tepuk dada, tanya selera (dan Iman).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here