Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Serangan perkauman terhadap PH meningkat jika BN menang, kata DAP

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata beliau menjangka serangan berunsur perkauman terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meningkat jika BN menang dalam PRK Tanjung Piai.

Beliau berkata ini kerana BN akan menganggap kemenangan itu sebagai tanda sokongan terhadap serangan seperti itu.

“Kemenangan BN, diwakili MCA bagi pihak gabungan Umno-PAS, akan menambah kepada serangan perkauman pakatan pembangkang terhadap kerajaan PH.

“Dengan menggunakan ekstremisme perkauman, berbekalkan niat untuk memecah-belahkan kerajaan PH melalui perbezaan etnik, semakin mudahlah jalan untuk Najib Razak dan Zahid Hamidi, yang kini berdepan berpuluh kes rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah, kembali berkuasa,” katanya ketika berkempen untuk PPBM di Tanjung Piai hari ini.

“Tak dapat saya bayangkan bencana bagaimana sebuah gabungan parti politik dengan pemimpin yang rasuah dan tiada agenda penambahbaikan selain politik perkauman akan kembali berkuasa,” katanya lagi.

Pada masa ini, katanya lagi, orang Melayu diberitahu kerajaan dikawal oleh Lim Guan Eng dan DAP manakala orang bukan Melayu pula diberitahu DAP tiada suara dan dikawal oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan PPBM.

“Kedua-dua tuduhan ini adalah salah sama sekali, tidak adil dan juga merosakkan masyarakat yang berbilang kaum.

“PH adalah kerajaan gabungan yang membuat keputusan secara rundingan bersama, melalui Kabinet dan Majlis Presiden.

“Kerajaan PH tidak sempurna, namun berhak diberi peluang sepenuh penggal lima tahun untuk melaksanakan idea-ideanya; dan ia tidak wajar ditumbangkan melalui plot kecil-kecilan separa penggal serta konspirasi yang digerakkan sentimen perkauman,” katanya yang juga timbalan menteri pertahanan.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau yakin PH akan mendapat sokongan jika dapat menjelaskan dengan baik cabaran dan kesukaran menyelesaikan masalah negara.

“Sebab itu tugas kita dalam kempen ialah menjelaskan kepada mereka apa yang kita warisi dan apa langkah yang telah diambil.

“Kadang-kadang maklumat mungkin tidak sampai…Saya yakin insyaAllah jika mereka dapat memahami betapa sukarnya kita mengendali pentadbiran sekarang, mereka akan beri sokongan,” katanya ketika program di Jempol hari ini.

Selain calon PH Karmaine Sardini dan calon BN Wee Jeck Seng, empat lagi calon yang bertanding dalam PRK ini ialah Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan), serta dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kempen bermula pada 2 November lalu dan hari mengundi ditetapkan pada 16 November ini.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén