Seorang murid maut, dua parah dirempuh pemandu mabuk

22

MURID maut manakala dua lagi parah dirempuh kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk dalam kejadian di Jalan Tempasuk 2, Kampung Tempasuk 2, Kota Belud, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi tadi, mangsa Max Christty, 10, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tempasuk 2, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Sementara, dua mangsa lain iaitu Maxryona Masdi, 7, murid SK Tempasuk 2 dan Michelle Marianne David, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan 1, parah di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Kota Belud dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pemandu berusia 54 tahun yang bekerja sebagai petani dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tempasuk 2 dari arah Pekan Kota Belud.

“Sebaik tiba di kawasan rumah penduduk di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh ketiga-tiga mangsa yang sedang berdiri di bahu jalan dan sedang menunggu kenderaan untuk ke sekolah.

“Kereta jenis Nissan Sentra itu kemudian terbabas dan merempuh bahagian tepi rumah jenis konkrit berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pemandu disyaki mabuk itu mengalami cedera ringan pada bahagian dahi dan dirawat sebagai pesakit luar.

“Punca kejadian disebabkan pemandu disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan ditahan selepas menerima rawatan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 44(1) APJ 1952 kerana memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Rozlan Osman berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 6.53 pagi, sepuluh anggota bergegas ke lokasi serta sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati kenderaan terbabit terbabas di tepi rumah penduduk selepas merempuh tiga pejalan kaki di bahu kanan jalan.

“Pihak perubatan hospital Kota Belud yang tiba mengesahkan seorang mangsa meninggal dunia manakala dua lagi mangsa yang cedera parah dihantar oleh awam ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here