Portal berita terbaik anda

Utama

Semua bank tempatan kekal catat untung

KUALA LUMPUR – Bank tempatan berupaya mengekalkan prestasi kewangan memberangsangkan apabila tetap mencatatkan keuntungan di sebalik cabaran operasi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 tahun lalu.

Dua daripada bank terbesar tempatan, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Kumpulan Public Bank semalam masing-masing melaporkan keuntungan bersih RM6.48 bilion dan RM4.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, meskipun prestasi kedua-duanya lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Kemerosotan prestasi kewangan Maybank yang juga bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu adalah berikutan peningkatan ketara kerugian rosot nilai akibat pandemik COVID-19.

Pendapatannya bagi tempoh itu turut berkurangan kepada RM51.03 bilion daripada RM52.86 bilion sebelum ini manakala pendapatan asas sesaham susut kepada 57.66 sen daripada 73.45 sen.

Bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2020, keuntungan bersih bank berkenaan berkurangan kepada RM1.54 bilion daripada RM2.45 bilion pada tahun sebelumnya.

Manakala, pendapatannya dalam suku dikaji susut kepada RM12.24 bilion berbanding RM13.0 bilion, dalam suku sama sebelumnya.

Kumpulan mengumumkan cadangan pemberian dividen akhir peringkat satu sebanyak 38.5 sen sesaham, menjadikan keseluruhan dividen yang dibayar untuk 2020 sebanyak 52 sen sesaham.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, berkata prestasi kumpulan disokong oleh kepelbagaian operasi dan tumpuan dalam memastikan asas kecairan serta modal yang kukuh.

Katanya, walaupun menjangkakan persekitaran terus kekal mencabar untuk jangka pertengahan, Maybank berharap momentum ekonomi akan meningkat sebaik kempen imunisasi dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.

“Kumpulan kekal komited untuk mematuhi asas amalan perbankan yang baik dan pengurusan yang bijak di mana asas kami sudah dibina, pada masa sama, mencari peluang menjana pendapatan baharu, selain memanfaatkan keupayaan teknologi untuk menghasilkan produk serta perkhidmatan bertaraf dunia.

“Kami bakal memperkenalkan beberapa inisiatif digital menarik yang direka bentuk untuk memberikan pengalaman kepada pelanggan generasi mendatang, yang akan dilancarkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2020 secara maya, semalam.

Sementara itu, keuntungan lebih rendah Public Bank pada 2020 khususnya disebabkan oleh pemampatan margin faedah bersih berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas pada tahun dikaji.

Selain itu, ia juga disebabkan kerugian pengubahan bersih satu kali sebanyak RM498 juta yang dialami berikutan langkah bantuan COVID-19 yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata 2020 adalah tahun penuh cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Bermulanya pandemik COVID-19 menyebabkan gangguan dan ketidaktentuan ekonomi yang ketara. OPR yang dikurangkan beberapa kali pada tahun terbabit terus memberi tekanan ke atas sektor perbankan.

“Walaupun begitu, Kumpulan Public Bank masih berupaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dan mengekalkan keuntungannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Hong Piow berkata, model perniagaan Kumpulan Public Bank sekali lagi mempamerkan kekukuhan dan keteguhan pada waktu mencabar.

“Ini disebabkan oleh pelaksanaan strategi keutamaan yang tersusun, selain daripada amalan pengurusan risiko berhemat.

“Kumpulan terus mengekalkan asasnya yang kukuh pada 2020, menghasilkan pulangan ekuiti bersih sebanyak 11.2 peratus sambil mengekalkan nisbah pinjaman pengurangan kasar yang rendah sebanyak 0.4 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang baik sebanyak 34.6 peratus,” katanya.

Berikutan prestasi keuntungan yang kekal kukuh itu, beliau mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen sebanyak 13 sen sesaham, iaitu jumlah pembayaran sebanyak RM2.52 bilion.

Ia 51.8 peratus daripada pembayaran keuntungan bersih kumpulan bagi 2020.

Dividen akan dibayar pada 22 Mac ini, berdasarkan tarikh kelayakan pada 12 Mac 2021.

Antara bank tempatan yang akan melaporkan prestasi kewangan hari ini pula ialah CIMB Group Bhd dan RHB Banking Group.

Loading...

Leave a Reply