Selepas berkahwin, anak perempuan masih ada tanggungjawab pada ibu bapa

DALAM satu keputusan kes perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban hakim telah memerintahkan seorang wanita yang juga seorang pensyarah bersama suaminya mem beri nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat.

Pasangan itu juga diperintahkan memenuhi lima tuntutan lain yang difailkan ibu bapanya iaitu membenarkan mereka sepanjang hayat tinggal di sebuah rumah di Kampung Jiboi Baru, Ampangan.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan warga emas itu diberi kebebasan bergerak dan melakukan aktiviti dalam rumah itu serta kawasan persekitaran; diberi kebebasan dilawati anak lain pada bila-bila masa sepanjang hayat; menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta membiayai mereka mengerjakan haji.

Laporan tersebut ternyata mempunyai seribu satu implikasi terhadap institusi kekeluargaan yang kini ternyata berhambakan wang ringgit sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapanya.

Sebagai anak perempuan yang telah mendirikan rumahtangga, tanggungjawabnya terserah kepada suaminya. Namun begitu, Islam sendiri memberikan perintah kepada muslimah agar selalu mentaati suami dan mengikuti suaminya selagi suaminya masih dalam syariat Islam.

Walaupun telah berkahwin, Islam tidak pernah memutuskan hubungan di antara ibu bapa dan anak-anak malah anak-anak masih boleh menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap ibubapanya.

Kewajipan Anak Perempuan terhadap Ibu Bapa:

1. Berbakti selagi ada

Selagi ibu bapa masih ada, teruskan berbakti kepada mereka dengan mengambil peluang untuk membalas budi yang telah dicurahkan selama ini. Kebanyakan ibu bapa tidak memandang harta yang dimiliki oleh anak-anak mereka.

Cukup sekadar mencurahkan kasih sayang dan perhatian terhadap mereka kerana pada usia ini, mereka lebih memerlukan sentuhan kasih sayang dari seorang anak.

Namun begitu, sering kali kita berhadapan dengan anak-anak yang sudah berkahwin, sama ada kita sebagai suami atau isteri yang menghadapi dilema untuk menjaga ibu bapa yang sudah tua atau sakit tidak bermaya.

Ingatlah bagi seorang lelaki yang telah berkahwin, tanggungjawabnya yang pertama, mengasihi Allah, kedua Rasulullah, ketiga ibu bapanya dan selepas itu baharulah isterinya. Bagi seorang wanita yang bergelar isteri pula, tanggungjawabnya pertama mengasihi Allah, kedua Rasulullah, ketiga suami dan selepas itu barulah ibu bapanya.

2. Cari bekalan pahala

Walau bagaimanapun, sebagai suami, jadilah suami yang beriman, baik dan bertanggungjawab dan suka memberikan manfaat kepada orang sekeliling kita. Bantulah isteri untuk menjaga dan mengambil tanggungjawab terhadap ibu bapanya.

Untuk mencari bekalan pahala yang banyak di akhirat nanti, jagalah ibu bapa, terutama ibu bapa yang sakit, kerana di situlah letaknya ladang pahala.

3. Tak jaga tak dapat rahmat

Orang yang mempunyai ibu bapa yang tua tetapi tidak menjaga ibu bapanya, tidak akan mendapat rahmat daripada Allah SWT. Alangkah ruginya kalau kita termasuk dalam golongan itu.

Oleh sebab itu jadikan, menjaga ibu bapa sebagai satu aktiviti merapatkan hubungan keluarga. Isteri akan lebih menghargai suami yang boleh menerima ibu bapanya.

Janganlah membuatkan isteri berada dalam dilema; antara menjaga kebajikan suami dengan menjaga kebajikan ibu bapanya, terutama bagi ibu bapa yang sudah tua dan sakit pula.

Ingatlah apa-apa yang kita sebagai ibu bapa lakukan, akan diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *