‘Selamat tinggal kandang kambing…’ – Menjelang Aidilfitri, rumah Ruslida dibaikpulih

0
2999

MENJELANG Aidilfitri ini, keluarga empat beranak yang tinggal di kandang kambing mendapat berita gembira apabila badan bukan kerajaan akan membina rumah baharu untuk mereka.

Mulai semalam, kandang kambing yang menjadi penempatan Ruslida Kamarazaman, 36, dan tiga anaknya, sejak setahun lalu di Kampung Chegar Bungor, Gua Musang, akibat kemiskinan, dirobohkan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) untuk dibina rumah baharu.

Ruslida berkata, dia terharu dengan keprihatinan MAYC bersama 10 sukarelawan dan 15 anggota RELA yang bertungkus lumus untuk menyiapkan rumah baharu itu di tapak sama sebelum Aidilfitri ini.

“Kini buat sementara waktu, saya dan anak-anak menumpang di rumah ibu yang tidak jauh dari sini sebelum rumah baharu kami siap.

“Saya sebenarnya tidak mahu menyusahkan orang ramai berhubung kehidupan kami yang miskin dan tinggal di kandang kambing, tetapi apa boleh buat perkara itu tidak boleh disembunyikan lagi,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Dua minggu lalu, kehidupan empat beranak itu yang terpaksa tinggal di kandang kambing menjadi tumpuan media massa dan tular di media sosial.

Ruslida berkata, langkah pihak terbabit yang sanggup membina baharu rumah itu di tempat yang sama dapat membantunya meneruskan mencari rezeki dengan mengambil upah menoreh getah di kampung itu.

Katanya, dia menerima tawaran untuk tinggal di rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi terpaksa menolak kerana ia di luar kampung itu dan perkara itu menyukarkannya mencari nafkah.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana masalah hidup kami empat beranak semakin selesai apabila rumah baharu akan siap dibina sebelum Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pada mulanya beliau bercadang untuk membaik pulih kandang kambing itu bagi dijadikan rumah.

Namun, katanya, masalah keluarga itu tidak mungkin selesai jika kandang kambing hanya dibaik pulih dan dengan itu mereka meroboh dan membina rumah yang lebih selesa.

“Kita mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan rumah keluarga ini dan kita jangka mereka dapat menyambut Aidilfitri di rumah baharu nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here