Portal berita terbaik anda

Utama

‘Saya malu, tapi terpaksa…’ – Lelaki hidap lima penyakit rayu bantuan sara keluarga

BEKAS buruh dan isteri yang menghidap pelbagai masalah kesihatan merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan beban membesarkan empat anak kecil di Kampung Sawah, Rantau.

Mohd Huzaimi Hussin, 38, berkata, dia menghidap penyakit paru-paru berair, lemah jantung, kencing manis, tonsil dan darah tinggi pada 2015 dan dinasihatkan doktor tidak melakukan kerja berat pada 2017.

Katanya, isterinya pula, Siti Yussida Mohd Yusof, 36 menghidap tiroid yang serius menyebabkan mereka berdepan masalah membesarkan keempat-empat anak.

“Saya memiliki dua anak perempuan berusia tujuh dan lima tahun serta anak kembar lelaki yang baru dilahirkan Februari lalu. Jika diikutkan hati, saya mahu bekerja tetapi kesihatan tidak mengizinkan,” katanya yang memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Akibat tiada kerja, katanya, dia yang tinggal bersama mentua di Batu Hampar, Rembau sebelum ini terpaksa menumpang di rumah ibunya di Kuala Sawah.

Bagaimanapun katanya, bapa mentua, Yusof Tahir, 72 membantu menguruskan persekolahan dan pra sekolah dua anak perempuannya.

Mohd Huzaimi berkata, keluarganya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, masing-masing RM270 dan RM250 sebulan, namun tidak mencukupi.

“Saya malu untuk meminta bantuan tetapi keadaan memaksa tambahan pula dengan kelahiran anak kembar ini,” katanya yang menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di rumahnya, semalam.

Menurutnya lagi, dia menerima mesin bantuan oksigen daripada Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini namun perlu membiayai kos penyelenggaraan sendiri sebanyak RM1,170, setiap tiga bulan.

“Isteri pula perlu berulang alik ke hospital untuk cucian di perut selepas pembedahan. Saya juga perlu memikirkan perbelanjaan rumah termasuk susu dan lampin pakai buang anak,” katanya.

Sementara itu Presiden Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya menghantar bekalan makanan kepada keluarga itu setiap bulan untuk meringankan beban mereka.

Orang ramai yang mahu membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank milik Mohd Huzaimi bernombor 155171141327 atau CIMB bernombor 7605068022.

Loading...

Leave a Reply