‘Saya dulu selamba je keluar masuk lokap’ – Rafizi rayu Jamal pulang

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli meminta Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berani berdepan dengan cabaran politik dan memberi kerjasama kepada polis.

Menurutnya, Jamal sepatutnya yakin terhadap integriti dan ketelusan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan tugas.

“Saya menasihatkan Datuk Jamal pulanglah dan lapor diri ke balai polis. Mereka tidak akan apa-apakan Datuk Jamal. Mereka tahu mereka dipantau rakyat.

“Saya dulu selamba je keluar masuk lokap, itu asam garam berjuang. Pulanglah Datuk Jamal,” katanya menerusi Twitternya hari ini.

Jamal yang didakwa kini berada di Indonesia dikenakan waran tangkap oleh PDRM dan turut meminta kerjasama pihak berkuasa Indonesia membantu memburunya.

Pengerusi Gerakan Baju Merah itu sudah didakwa atas tiga kes iaitu mempamerkan senjata api serta dua kesalahan lain ketika di Hospital Ampang Puteri, Ampang, 25 Mei lalu dan masih mempunyai baki enam kes yang belum dituduh.

Bagaimanapun, dia menghilangkan diri selepas diberikan ikat jamin dan tidak sempat untuk menyelesaikan proses berkenaan.

Selepas gagal hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Jamal muncul dalam rakaman video di sebuah ladang sawit yang tidak diketahui lokasinya dan mendakwa keselamatan diancam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *