‘Saya bagaikan bermimpi’ – Anak mangsa kemalangan maut di LPT

0
8886

CHUKAI: “Saya tercengang bila ayah suruh buat persiapan ketibaan jenazah.

“Saya tanya ayah sekali lagi, siapa yang meninggal. Ayah sebut ibu dan tiga adik meninggal dalam nahas di Pahang.

Amirul Syafiq Mazlan, 24, berasa bagai bermimpi sebaik mendapat tahu ibu bersama tiga adiknya maut dalam kejadian di Kilometer 161.3 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, Pahang, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu, Azian Abdulah, 50, bersama tiga anaknya, Fatin Najwa Mazlan, 27; Fatin Nur Ardiana, 15; dan Mohamad Danish Najmi Mazlan, 10, maut di tempat kejadian.

Dua lagi adiknya, Fatin Nur Athirah, 19, cedera parah manakala Mohd Shahrul Ikhram Mazlan, 20, yang memandu kereta Perodua Myvi dinaiki cedera ringan.

Ketika kejadian, Amirul Syafiq yang bekerja di kilang di Gebeng, Kuantan berada di rumah keluarganya di Bandar Baru Seri Bandi di sini, kerana pulang bercuti.

“Saya balik kampung semalam kerana bercuti. Oleh sebab penat sangat, saya terlelap di atas sofa.

“Selepas Subuh, saya tertidur semula sebelum dikejutkan oleh ayah yang memaklumkan mengenai kemalangan.

“Ketika itu saya rasa bagai bermimpi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Amirul Syafiq mahu mengikuti bapanya ke Hospital Temerloh menuntut jenazah ahli keluarga tetapi diminta tinggal di rumah bagi menguruskan persiapan.

Beliau berkata, ibu dan lima adiknya bertolak ke Kuala Lumpur kelmarin dan menginap di rumah kakaknya yang tinggal di ibu negara.

“Kali terakhir saya bertemu ibu dan adik-beradik lain pada Rabu lalu dan ibu ada memberitahu akan ke Kuala Lumpur membeli pakaian hari raya adik beradik.

“Ini adalah Ramadan paling memilukan buat kami sekeluarga, namun ia juga yang ditakdirkan Allah buat kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru di sini, hari ini..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here