Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Sate Jabi pencabar sate Kajang?

MUNGKIN masih ramai yang tidak pernah mendengar sate Jabi. Ia mungkin kurang popular berbanding sate Kajang, yang kini boleh dilihat dijual hampir di seluruh negara.

Namun, bagi yang pernah mencuba sate di Jabi, yang terletak dalam daerah Besut, Terengganu, rata-rata mengakui keenakan sate di Jabi ini berbeza dengan sate lain kerana cara pembuatannya yang sedikit unik dan lebih tradisional.

Bagi pengguna jalan raya yang berulang-alik dari Terengganu ke Kelantan, Jabi menjadi hentian wajib buat mereka untuk menikmati sate sebelum meneruskan perjalanan.

Bagi pengunjung yang datang dari Kuala Terengganu, masa perjalanan sekitar satu setengah jam atau kira-kira 90 kilometer untuk sampai ke Jabi, manakala mereka yang berada di sekitar daerah Pasir Putih yang terletak di sempadan Kelantan – Terengganu hanya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk tiba di Jabi.

Tidak sukar untuk orang ramai mencari kedai sate ini kerana ia terletak di tepi jalan besar dengan lima kedai terdapat di kiri kanan jalan. Pengunjung hanya perlu memilih gerai mana yang disukai kerana setiap kedai menjanjikan keenakan sate yang berbeza.

Tarikan sate di Jabi bermula apabila seorang pengusaha, Mas Awang atau lebih dikenali sebagai Mastura mula menjual sajian itu pada tahun 1977.

Keenakan sate yang dibakar dengan bara arang serta kuah kacang dan nasi impit, yang dimasak menggunakan dapur kayu menyebabkan sate Mastura digemari ramai hingga menjadi tarikan pelancong.

Sambutan hebat orang ramai terhadap sate Mastura kemudian menyuntik inspirasi untuk lebih ramai pengusaha menjual sate bermula pada 1990-an dan sehingga kini, ada lima peniaga menjual sate dengan resipi istimewa masing-masing.

Ia termasuklah Sate Lanang; Kak Mah; Suria dan Sate Kajang, yang kebanyakannya memulakan operasi seawal jam 1 tengah hari hingga jam 10 malam. Ada beberapa kedai ditutup pada Jumaat, yang juga hari cuti di Terengganu, namun ada juga kedai yang dibuka pada Jumaat.

Peluang menemui pewaris Sate Mastura, Ramlah Dollah, 48, digunakan penulis untuk mencungkil sejarah permulaan perniagaan sate warisan itu yang kini semakin maju dan dikenali ramai, termasuk pelancong dari luar negara.

Ramlah bersama sate yang dihidangkan kepada pengunjung di kedai Sate Mastura.

Ramlah yang berasal dari Bachok, Kelantan, adalah anak angkat kepada Allahyarham Mastura, yang juga mempunyai pertalian darah dengan keluarganya.

Mastura pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki. Allahyarham mengambil Ramlah serta abang kandungnya, Ibrahim Dollah, 64, sebagai anak angkat sejak kecil. Selain Ramlah dan Ibrahim, Mastura turut memiliki seorang lagi anak angkat, Normah Mahmud.

Sejak Mastura yang juga dikenali dengan panggilan Mok Su oleh penduduk setempat meninggal dunia pada 1999, perniagaan itu diteruskan dan diambil alih oleh Ramlah serta abangnya, Ibrahim.

Malah, Ibrahim yang juga seorang bekas askar berkahwin dengan Normah, yang turut bersama-sama membantu dalam meneruskan legasi perniagaan warisan itu.

Ibrahim memasak nasi impit menggunakan dapur kayu, satu rahsia keenakan Sate Mastura.

Ramlah yang mula membantu ibu angkatnya itu menjual sate ketika usianya 10 tahun berkata, walaupun pelbagai kemudahan dan kemajuan peralatan untuk pengusaha sate terdapat di pasaran, mereka masih mengekalkan keaslian resipi turun temurun sate warisan itu dengan kaedah memasak dan membakar tradisional.

“Ketika kami mula-mula berniaga sate dulu, kami cuma bermula dari sebuah gerai kecil. Ketika itu, tidak ada orang lain yang menjual sate. Kini, sudah ada lima kedai menjual sate di Jabi ini yang memiliki pelanggan tersendiri, malah kami juga sudah tiga kali berpindah lokasi perniagaan kerana mahu ruang yang lebih luas.

“Alhamdulillah walaupun persaingan semakin banyak, Sate Mastura mempunyai penggemarnya tersendiri dan kebanyakannya adalah pelanggan tetap kami sejak berpuluh tahun. Jika dulu mereka dibawa datang ke kedai kami oleh ibu bapa mereka, kini mereka pula yang membawa anak dan cucu ke sini.

“Tidak mengapa jika banyak persaingan kerana apa yang penting bagi kami, jika berniaga dengan jujur dan ikhlas kerana Allah, insya-Allah pasti ada pulangannya,” kata wanita peramah ini yang memegang prinsip tidak gemar membuat sesuatu perkara secara cincai.

Sate Mastura menyediakan pilihan buat pelanggan dengan menjual sate ayam, daging dan hati pada harga 70 sen secucuk.

Beliau berkata, kebanyakan pelanggan bukan saja menggemari keenakan Sate Mastura, malah sate di kedai itu juga digelar ‘sate sihat’ oleh pelanggan kerana tidak mempunyai lemak dan menjalani kaedah penyediaan bersih serta teliti.

Sebagai contoh, katanya, ayam segar yang sudah dibersihkan oleh pekerjanya akan dicelur ke dalam air panas mendidih bertujuan untuk menghilangkan lemak ayam yang tidak baik untuk kesihatan.

Katanya, setiap hari lebih 4,000 cucuk sate dijual dan jumlah itu meningkat dua kali ganda pada musim cuti sekolah dan cuti umum, apabila ramai pelancong datang bercuti ke negeri ini.

Apa yang lebih menarik, keluarga pewaris Sate Mastura ini mempunyai tabiat pelik. Walaupun sudah puluhan tahun menjual dan menyediakan sate setiap hari, perasaan jemu makan sate tidak pernah wujud dan setiap hari mereka tidak pernah ‘bercuti’ daripada makan sate.

“Macam pelik pula jika satu hari itu tidak menjamah sate. Walaupun setiap hari kami menghadap sate bermula daripada pemprosesan bahan mentah, penyediaan, membakar dan menjual, tetapi kami tidak pernah jemu makan sate setiap hari,” katanya ketawa.

Biarpun sudah banyak kedai sate menjadi pesaing, Sate Mastura tetap menjadi pilihan ramai, malah ramai juga kalangan pelanggannya membeli sate beku untuk dibawa pulang ke luar negara, termasuk Brunei dan Indonesia.

Sumber: berita harian

Leave a Reply

Theme by Anders Norén